Fungsi utama pemasaran sebenarnya bukan untuk meningkatkan jualan. Namun sejak kebelakangan ini, pihak pengurusan syarikat dan para pemilik perniagaan mengalih pandangan mereka kepada kekuatan pasukan pemasaran mereka untuk mendapatkan jualan.
Objektif asal pemasaran ialah untuk mencipta peluang kepada pasukan jualan untuk mendapatkan jualan dengan lebih cepat dan mudah. Itu sahaja. Pasukan pemasaran tidak sepatutnya melangkaui batas sehingga terpaksa turun padang mengadap para pelanggan semata-mata untuk mendapatkan pesanan jualan. Ini bukan kerja mereka, tetapi sebenarnya tanggungjawab pasukan jualan syarikat.
Apabila pasukan pemasaran terpaksa berbuat demikian, ini satu ‘mesej’ yang tidak sihat kepada pasukan jualan untuk kekal relevan.
Tahap keyakinan kebanyakan tauke dan pihak pengurusan syarikat di Malaysia sudah semakin merosot dengan pasukan jualan mereka sendiri. Mengapa? Mungkin hasil yang diperolehi tidak sampai kepada tahap yang dijangkakan.
Jika dilihat secara umum, ia menunjukkan yang pasukan jualan itu sendiri mungkin berada pada ambang kepupusan. Memandangkan pasukan pemasaran juga kini berkebolehan untuk mendapatkan jualan, mungkin pasukan jualan tidak lagi diperlukan. Malah, syarikat saya sendiri juga tidak pernah mempunyai pasukan jualan kerana semua aktiviti pemasaran ada merangkumi elemen jualan yang dijalankan melalui kaedah-kaedah yang akan saya kongsikan dibawah.
Walaupun tidak memiliki wakil jualan sejak ia ditubuhkan, namun prestasi yang baik sepanjang tahun lepas dan sebelumnya masih mampu ditingkatkan setiap tahun.
Ini rahsianya.
Perkhidmatan berkualiti yang betul-betul menyelesaikan masalah. Pilihan produk sangat penting pada zaman ini, dan anda tidak boleh menjual sembarangan. Perniagaan yang baik kini ialah dengan menyediakan produk atau perkhidmatan yang betul-betul mampu menyelesaikan masalah orang lain dengan berkesan. Ini kriteria penting. Tidak kira ia adalah masalah di rumah, di pejabat ataupun peribadi, sesiapa juga akan sanggup membayar jika pembelian produk atau perkhidmatan tersebut mampu membantunya menjalani kehidupan yang lebih baik. Syarikat saya, contohnya, menyediakan perkhidmatan pengurusan media sosial yang terang-terang amat diperlukan oleh setiap golongan usahawan dan profesional yang sibuk tetapi memerlukan autoriti mereka kekal relevan di media sosial.
Strategi harga yang rakyat Malaysia mahukan. Kita semua tahu rakyat Malaysia kebanyakannya bekerja keras demi kelangsungan hidup. Rata-rata mereka terdiri dari golongan sederhana, yang tidak terlalu kaya dan tidak pula terlalu miskin. Namun, setiap wang ringgit yang ada, mereka pasti akan berhati-hati ketika berbelanja. Tidak seperti agensi-agensi media sosial lain yang menawarkan perkhidmatan pengurusan media sosial pada harga beribu-ribu Ringgit sebulan, syarikat saya melakukan sebaliknya. Harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari pasaran. Ia dilakukan bukan untuk merosakkan pasaran tetapi kerana kami mempunyai jumlah pelanggan dari dalam dan luar negara yang jauh lebih ramai berbanding para pesaing kami. Setiap keuntungan pula tidak diambil sepenuhnya tetapi akan disalurkan kembali kepada mereka melalui penawaran kadar harga yang lebih rendah. Ini mewujudkan keadaan menang-menang yang dahsyat.
Tidak ada ikatan. Kebanyakan pengguna di Malaysia juga tidak gemar dengan konsep kontrak yang bertahun-tahun atau terlalu lama, jadi dengan sentimen ini perkhidmatan yang kami tawarkan hanya diberikan dari sebulan ke sebulan. Sekiranya mereka mahu berhenti, kami dengan senang hati akan menghenghentikan semua aktiviti dengan serta merta. Biasanya mereka akan datang kembali selepas beberapa bulan.
Aktif di media sosial. Namanya pun media sosial, jadi setiap hari kita akan memuatnaik status-status yang berbentuk santai tetapi sesuai dengan perkataan sosial. Status-status ini ditulis dengan tujuan bagi menggalakkan komen dan apabila wujudnya komen yang banyak, ia bakal mengundang penularan yang besar dan berterusan. Ini yang kami mahukan. Lebih rapat sesebuah silaturrahim itu wujud, semakin mudah mereka percaya dan akhirnya mereka akan membeli.
Ejen. Taktik ini sebenarnya taktik lama yang dimodenkan kembali. Kami juga menggunakan rakan-rakan media sosial untuk memperkenalkan kenalan mereka yang memerlukan khidmat pengurusan media sosial kepada kami. Setiap pengenalan yang membuahkan hasil akan diberikan komisen yang setimpal setiap bulan kepada rakan tersebut selagi pelanggan itu menggunakan khidmat kami.
Faktor-faktor pertama hingga ketiga diwujudkan bagi menggalakkan pemasaran mulut ke mulut, manakala faktor keempat dan kelima ialah taktik pemasaran kreatif yang dikenali sebagai taktik pemasaran gerila. Sekiranya saya dan rakan-rakan mampu menerima jualan yang konsisten setiap tahun tanpa pasukan jualan, mesti anda juga boleh.