Kebanyakan dari kita, rata-rata tidak akan dapat merasa work-life balance atau keseimbangan hidup dan kerjaya. Ini fakta. Menurut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2019 oleh Kisi, sebuah syarikat teknologi yang berpusat di Amerika Syarikat yang menjalankan kajian berkaitan topik ini terhadap 40 buah ibukota di seluruh dunia mendapati Kuala Lumpur berada pada tangga ke 40 dari 40 ibukota dunia. Kisi menggunakan 20 faktor sebagai asas kajian yang melibatkan undang-undang negara tersebut, sokongan organisasi, kualiti hidup, keberatan kerja, infrastruktur, tempat bekerja, penginapan dan sebagainya.
Setahun sebelumnya, portal pekerjaan Monster juga menjalankan kajian mereka tentang perkara ini melalui bancian ke atas lebih 1,000 individu di seluruh Malaysia. Dalam kajian tersebut, lebih 500 individu atau separuh dari keseluruhan responden bancian itu menyatakan yang mereka sangat tidak berpuashati langsung terhadap pekerjaan mereka terutamanya tentang keseimbangan hidup dan kerjaya masing-masing.
Mengapa?
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Namun pada pendapat saya, penyebab utamanya adalah kadar pendapatan yang diterima oleh para pekerja di negara ini seperti kita semua adalah terlalu murah berbanding apa yang diperolehi oleh orang lain di luar sana. Ia juga tidak setimpal langsung jika dibandingkan dengan kos kehidupan yang kita perlu tanggung. Saya mempunyai beberapa orang rakan di negara Jerman, mereka bekerja hanyalah sebagai pengurus biasa di syarikat-syarikat automotif di sana. Mengikut apa yang mereka ceritakan kepada saya ketika mereka mengunjungi Malaysia tahun lalu, mereka cuma mempunyai satu jenis pekerjaan sahaja dan tidak perlu melakukan apa jua kerja sampingan lain selepas waktu kerja. Biasanya mereka akan banyak menghabiskan masa dengan keluarga sahaja selepas itu. Dan pendapatan yang diperolehi dari gaji sahaja sudah lebih dari mencukupi untuk mereka sekeluarga, malah masih berbaki untuk melancong ke luar negara sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Berbeza pula halnya di Malaysia. Kita bukan sahaja perlu bekerja tetapi masih perlu melakukan sama ada pekerjaan lain ataupun bisnes bagi mendapatkan pendapatan sampingan bagi mencukupkan apa yang ada. Gaji bulanan memang sudah pasti tidak akan cukup. Di Kuala Lumpur contohnya, kita memerlukan tidak kurang RM5,000 untuk hidup dengan agak selesa. Bukan selesa betul tetapi agak selesa. Cuba bayangkan kalau pendapatan keluarga tidak sampai RM2,000 atau tidak sampai RM1,800. Sudah tentu kita perlu berusaha lebih gigih lagi bagi mendapatkan pendapatan sampingan untuk membayar itu dan ini.
Tahun 2020 ini pula menjadikan keadaan semakin sukar. Sudahlah pendapatan yang ada semakin kurang atau menjadi tidak menentu, ditambah pula berita kita diberhentikan kerja, dipotong gaji atau bisnes yang ada perlu ditutup. Walaupun masih ada lagi yang hidup tanpa mempunyai sebarang masalah tetapi rata-rata tidak begitu. Kebanyakannya memang terkena tempias pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Tahun 2020 juga memperlihatkan ramai dari kita mula berjinak-jinak dengan bisnes e-dagang melalui portal-portal terkenal Shopee, Lazada, Lelong, Mudah dan sebagainya. Ada pula yang mendaftar, menjadi ejen-ejen kepada jenama-jenama produk runcit juga yang menjual produk-produk melalui media-media sosial, WhatsApp dan Telegram. Ini semua dilakukan bagi menampung kehilangan pendapatan utama, meningkatkan lagi pendapatan keluarga di samping pendapatan utama yang ada ataupun kedua-duanya sekali. Kita tahu cara biasa sudah tidak boleh diharapkan sangat. Semuanya perlu digital sekarang. Semuanya perlu internet sekarang.
Bukan kata syarikat anda sahaja yang kini bergerak aktif di internet, syarikat menternak lembu, kambing, udang, ikan dan menjual sayur juga kini mempunyai laman web sendiri yang mempunyai elemen e-dagang di dalamnya. Kedai yang menjual kuih-muih juga sama.
Saya melihat trend ini akan pergi dengan lebih jauh lagi pada tahun 2021 nanti. Walaupun 2021 akan mula memperlihatkan sektor pekerjaan akan pulih sedikit demi sedikit dan ramai akan mula bekerja kembali, kemajuan sektor pendigitalan memang tidak akan dapat dinafikan lagi kehebatannya. Walaupun yang masih bekerja akan kekal bekerja dan yang kehilangan pekerjaan pula akan mula bekerja kembali, namun saya yakin bisnes e-dagang mereka yang tidak akan terhenti begitu sahaja. Malah akan teruskan lagi. Mungkin mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali dan ini penting untuk langkah berjaga-jaga takut kehilangan pekerjaan lagi.
Saya juga nampak kadar pendapatan bulanan dari gaji yang diperolehi tidak akan berbeza banyak. Itu pun kalau ada perbezaan. Gaji tetap akan kekal murah di negara ini. Memandangkan gaji yang masih lagi murah dan hanya cukup-cukup, bisnes e-dagang dilihat akan terus membantu meringankan beban dalam perbelanjaan di rumah dan pembayaran komitmen kewangan lain.
Kelas-kelas yang mengajar e-dagang juga akan turut berkembang, sejajar dengan kelas-kelas yang mengajar teknik dan taktik berkaitan media sosial. Selain daripada itu, bisnes-bisnes yang berkaitan dengan penyumberan luar atau outsourcing juga akan turut meningkat, terutamanya yang berkaitan dengan sektor digital seperti pembuatan kandungan, laman web, media sosial dan pengoptimuman enjin pencarian.
Tahun 2021 ini, kemudahan internet akan memainkan peranan yang lebih penting lagi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Penggunaan data akan jauh lebih gila lagi. Persaingan di antara Celcom, Maxis, Digi dan UMobile akan lebih sengit lagi berbanding biasa. Memandangkan internet kini telah menjadi sebagai salah satu produk komoditi, hanya dua perkara yang akan membezakan keempat-empat operator ini – kualiti perkhidmatan dan harga. Hanya operator yang mempunyai kualiti perkhidmatan yang sangat baik dan menawarkan harga yang sangat berpatutan sahaja akan kekal relevan dan menjadi pilihan ramai. Mana-mana operator yang ingat mereka ‘macam bagus’ akan mula melihat pelanggan berbayar mereka akan berkurangan sedikit demi sedikit.
Sebagai seorang pemasar digital yang agak veteran, saya melihat tahun 2021 akan menjadi titik-tolak kepada Malaysia yang baharu. Walaupun pandemik COVID-19 masih lagi wujud dan sukar dibendung namun satu perkara yang pasti ialah penggantungan kita kepada digital, internet, media sosial dan e-dagang akan menjadi sangat ketara dan ini akan mempengaruhi kualiti keseimbangan kerjaya dan hidup atau work-life balance masing-masing.
Dalam kita mencari rezeki yang halal dan kesempurnaan hidup, pendigitalan ini bakal mengubah kehidupan kita mungkin kepada yang menjadi lebih baik, lebih sibuk berbanding biasa ataupun terus ‘ke laut’.
Jadi, kita sebagai manusia biasa yang berpedoman, sebagai suami, sebagai isteri, sebagai ayah dan ibu kepada anak-anak atau sebagai anak kepada ibubapa yang telah berumur, perlu tahu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri dan juga yang tersayang di rumah yang sangat bergantung kepada pilihan yang kita buat. Kita semua mempunyai hanya 24 jam sehari untuk melakukan pelbagai perkara, jadi buatlah pilihan yang terbaik ketika mencari keseimbangan hidup dan kerjaya.
Pilihan di tangan anda.