Minggu lalu, saya baharu sahaja menghidupkan kembali laman Azleen.com yang telah dua tahun lesu. Bukan sahaja lesu, ia seolah-olah mati seketika. Tiada kandungan-kandungan baharu, rekabentuk yang agak lama dan gambar-gambar yang digunakan untuk kandungan juga nampak sangat dari Google yang diperolehi secara percuma. Dengan kata lain, memang tidak profesional langsung lah.
Di internet pula, keadaan semakin teruk. Pada satu ketika, kalau sesiapa sahaja menaip perkataan ‘Pemasaran’ di kotak pencarian Google, hampir pasti artikel dari Azleen.com akan berada pada kedudukan tiga yang teratas pada mukasurat pertama. Ranking telah jatuh merudum ke tangga yang ke 9 juta pada ketika ini. Trafik atau pengunjung yang datang pun macam ala-ala sahaja sekarang, sekejap ada sekejap hilang. Sekarang ini kalau anda Google sahaja, yang banyak terpampang ialah artikel dari laman-laman web negara jiran, Indonesia. Walaupun domain Azleen.com yang dibeli pada tahun 2017 ini unik dan bukan senang untuk diperolehi, saya telah tinggalkan laman blog ini begitu sahaja untuk mati. Entah apa yang saya fikirkan hari itu, saya pun tidak pasti.
Yang saya sedar, fokus saya telah jauh bertukar sejak platform Marketing In Asia mula mendapat tempat di hati para komuniti pemasar dan media dari seluruh Asia. Sepatutnya saya tidak meninggalkannya terus meskipun peningkatannya tidak sehebat Marketing In Asia. Sepatutnya juga saya kekal meneruskan usaha-usaha memperbesarkan lagi jenamanya di seluruh Malaysia selari dengan kemajuan yang dicapai oleh Marketing In Asia.
Tidak mengapa.
Ini pengajaran berguna buat saya. Kini, saya kembali untuk membina dan seterusnya menguatkan lagi autoriti yang ada melalui laman blog Azleen.com ini. Berbekalkan pengetahuan yang ada, kepakaran yang ada, pengalaman selama lebih 20 tahun dalam pemasaran dan pembacaan yang dilakukan setiap masa, ini strategi yang telah dan akan saya lakukan bagi menghidupkan kembali zaman kegemilangan Azleen.com.
Pertama, logo baharu direkabentuk. Ini sangat penting bagi memberikan nafas baharu kepada laman blog ini. Logo kali ini lebih mudah dan kemas, berbanding yang terdahulunya yang lebih tradisional dengan ciri-ciri kemelayuan yang tebal. Saya menggunakan hanya satu huruf sahaja, iaitu huruf besar ‘A’.
Pemilihan tema untuk laman blog pula kali ini menggunakan beberapa laman web terkenal dunia sebagai penanda aras. Saya mahu laman blog ini kelihatan moden, mempunyai kredibiliti yang tinggi, terkini, besar dan global, jadi tema rekabentuknya perlu dilihat seolah-olah ia adalah satu majalah digital yang berkualiti tinggi. Penggunaan WordPress sebagai platform masih dikekalkan kerana ia lebih mudah untuk saya selenggarakannya.
Semua orang tahu, pengalaman pembaca sangat penting. Jadi, cara menulis perlu berbeza kali ini. Saya memilih untuk menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain yang saya sendiri baca tentangnya. Selain daripada pengalaman, saya juga akan menulis tentang pendapat dan teori yang diperolehi dari pemerhatian yang saya sendiri lakukan. Yang bagusnya, saya memang 24 jam berada di hadapan komputer memantau dengan diam apa sahaja drama yang berlaku di luar sana. Dengan ditemani komputer yang berkuasa, tiga buah skrin monitor yang besar, dan penghawa dingin yang suhunya sederhana sejuk serta secawan kopi 434 dari Muar, memang syurga betul jadi cctv bergerak melihat pelbagai berita, pendapat dan drama di luar sana. Melihat kualiti penulisan beberapa laman blog pemasaran tempatan, saya nampak tidak ramai yang boleh menzahirkan pengetahuan mereka melalui penulisan terutamanya dalam Bahasa Melayu. Ini satu potensi yang besar untuk saya dan Azleen.com untuk berdiri tinggi seterusnya membezakan kualiti yang saya ada dengan orang lain.
Imej baharu sudah. Kualiti penulisan sudah. Seterusnya saya berhasrat untuk meneruskan penulisan berkualiti saya sekerap mungkin setiap minggu. Saya mungkin tidak mampu untuk menulis setiap hari, tetapi kalau setakat tiga atau empat artikel yang rata-rata mempunyai di antara 700 hingga 1,500 perkataan, memang boleh sangat. Kualiti penulisan perlu diserlahkan dengan kuantiti yang banyak juga agar pembaca berminat untuk datang berkunjung ke laman blog ini setiap minggu, ataupun setiap hari akan tahu yang mereka akan disajikan dengan artikel yang baharu apabila mereka datang. Sekiranya saya dapat mengumpul seberapa banyak pembaca setiap hari, mereka semestinya akan dapat belajar, memahami, menggunakan petua-petua yang ditulis. Apabila ini berlaku, kebarangkalian untuk mereka kongsikan artikel yang dibaca itu dengan rakan-rakan mereka di media sosial juga akan meningkat. Dengan itu, lebih ramai lagi yang akan dapat belajar tentang pemasaran dan pemasaran digital melalui laman blog ini.
Elemen seterusnya yang perlu diperbaiki ialah click-to-action atau CTA. Ia sebenarnya ialah satu proses mengajak pembaca untuk klik pada perkataan atau ayat yang mempunyai pautan di dalamnya. Sebaik sahaja mereka klik, mereka akan dibawa ke mukasurat yang dikenali sebagai landing page. Di mukasurat ini, pembaca secara tidak langsung akan diyakinkan untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan yang dicadangkan sekiranya berminat. Di Azleen.com, saya juga berhasrat menggunakan kaedah monetisation ini di blog saya. Saya mempunyai beberapa perkhidmatan seperti perundingan, penulisan blog dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dan juga pengurusan media sosial, e-buku, affiliate yang boleh dijual.
Saya sedar, keperluan iklan sangat penting sekiranya saya ingin bermain dengan serius di rangkaian-rangkaian media sosial yang ada. Tidak kiralah sama ada ia Facebook, Twiter, LinkedIn mahupun Instagram, kaedah-kaedah platform ini beroperasi memang diketahui ramai. Bayar iklan baharu kandungan yang anda muatnaik itu akan dapat dilihat oleh orang lain, walaupun pengikut sendiri. Lebih ramai orang melihat artikel-artikel yang dimuatnaik, lebih tinggi kebarangkalian untuk saya menarik minat sesiapa di antara mereka mahukan perkhidmatan perundingan pemasaran yang saya tawarkan. Di platform media sosial, lebih banyak wang digunakan untuk iklan, lebih cepat saya dapat lebih banyak pengikut dan pembeli.
Selain dari iklan di media-media sosial, peranan Google juga sama pentingnya. Saya perlu memastikan setiap artikel saya akan dijumpai di enjin pencarian ini. Google merupakan sumber penting untuk menarik trafik di internet. Mereka adalah sumber penyumbang majoriti berbanding enjin pencarian lain seperti Bing, Yahoo dan lain-lain. Untuk mencapai objektif ini, cara penulisan artikel, tajuk dan strategi-strategi pembuatan kandungan lain juga perlu betul agar algoritma Google datang untuk mengindeks setiap kandungan yang ada di Azleen.com bagi tujuan ranking. Strategi menulis tajuk, strategi menulis kandungan artikel, kata-kata kunci yang perlu ada semuanya penting.
Pencarian kedudukan ranking yang baik di Google boleh dipengaruhi juga oleh penulisan di laman-laman web popular yang lain. Dua minggu yang lalu, saya baharu sahaja diterima oleh portal bisnes dwibahasa yang sedang meningkat naik, Dagang News sebagai penulis jemputan. Melalui strategi enjin pencarian yang dilakukan oleh Dagang News, penulisan saya mampu dijumpai di Google sekiranya ia dicari dengan penggunaan kata-kata kunci tertentu. Saya juga menulis di Utusan Malaysia setiap minggu. Bagi saya, strategi menjadi penulis jemputan ini sangat penting untuk saya mencari tempat pada mukasurat pertama di Google untuk setiap kandungan pemasaran dalam Bahasa Melayu.
Faktor terakhir ialah tentang kepelbagaian kandungan. Penulisan artikel hanya diminati oleh sekelompok pembaca yang minat membaca sahaja. Ada juga kelompok-kelompok lain yang tidak gemar membaca tetapi lebih suka menonton video, mendengar podcast, melihat infografik dan juga persembahan slaid. Perangai dan tabiat manusia memang pelbagai, jadi saya tidak boleh menumpukan perhatian kepada pembaca sahaja. Tumpuan juga harus diberikan kepada kumpulan yang lebih gemar kepada kandungan visual.
Sedikit demi sedikit saya akan mengubah dinamik laman blog Azleen.com ini agar ia lebih terserlah. Dengan keadaan platform Marketing In Asia yang kini semakin stabil dan lambakan kerja yang semakin berkurangan di NSE akibat pelanggan yang berkurangan, saya kini mempunyai lebihan masa yang banyak untuk Azleen.com dan saya akan gunakan kelebihan ini dan pengalaman yang saya ada untuk jadikannya laman blog rujukan pemasaran dalam Bahasa Melayu satu hari nanti. InshaAllah. Harapan saya agar kedudukan rankingnya juga akan turut semakin baik, hampir sama dengan Marketing In Asia nanti.