Ramadan adalah bulan latihan. Dengan berpuasa, kita melatih diri untuk “sabar”. “Sabar” adalah satu tingkah laku yang boleh didefinisikan dengan situasi yang dihadapi. Salah satu “sabar” yang dilatih dalam bulan Ramadan adalah “keupayaan menunggu”. Dengan berpuasa, kita melatih diri untuk “boleh tunggu ganjaran”, sebagai contoh, setelah menyediakan juadah untuk berbuka, kita tidak boleh terus makan, kita perlu tunggu sehingga masuknya waktu berbuka. Selama 30 hari (sesetengah tahun 29 hari), kita berlatih untuk “tunggu” walaupun hidangan yang dihajati itu sudah berada di depan mata.
Bercerita tentang hidangan pula, bulan Ramadan menyajikan peluang untuk mencuba pelbagai jenis makanan. Terdapat banyak pilihan daripada kuih muih, masakan berat seperti nasi dan lauk pauk, hinggalah ke air pelbagai warna ada dijual ataupun disediakan resipi untuk kita mencubanya.
Ini membuka peluang untuk kita berlatih pula setiap hari untuk “membuat pilihan yang baik”. “Baik” di sini bukan sekadar sedap dimakan dan berbaloi harganya tetapi baik dari segi kesan – terutama sekali bagi mengelak pembaziran. Kita sedia maklum bahawa walaupun kita andaikan boleh makan semuanya, perut hanya mampu makan sehingga satu tahap tertentu sahaja, jadi kita berlatih untuk sedar dan kenal tahap kemampuan diri kita berbanding andaian rasa atau kemahuan semata-mata.
Jadi, apa kelebihan melatih diri supaya boleh “tunggu” dan “kenal tahap kemampuan” ini?
Pertama kita kurang tergesa-gesa mengejar hajat dan kemahuan. Ramai orang impikan kejayaan, namun kejayaan hanya akan dicapai dengan mampu menunggu untuk melihat hasil usaha yang telah dilakukan. Kejayaan juga perlu sepadan dengan kemampuan semasa diri. Melalui ibadah berpuasa sebulan inilah, kita melatih diri untuk mempunyai daya nilai yang baik (better judgement) supaya lebih tenang serta kurang stres dalam menjalani kehidupan pada hari-hari seterusnya.
Mudah-mudahan dengan latihan secara sedar, kita semua beroleh kejayaan di akhir Ramadan kelak.