Saya diperkenalkan dengan konsep “Circle of Concern” ini daripada salah seorang alumni program Train the Trainer saya beberapa tahun lepas. Sejak itu, saya cuba aplikasikan dalam perspektif saya terhadap kehidupan seharian yang dilalui.
Di dalam “Circle of Concern” ini ada tiga (3) kategori perkara yang kita hadapi.
- CONTROL
- INFLUENCE
- CONCERN
CIRCLE OF CONTROL
Perkara yang jatuh dalam kategori ini adalah perkara yang dalam kawalan kita untuk bertindak bagi mengubahnya atau mendapatkan hasil yang berbeza. Contohnya, kita lapar. Kita boleh bangun, pergi ke dapur dan masak. Tindakan bagun, pergi ke dapur dan masak adalah dalam kawalan kita. Oleh itu, adalah tanggungjawab kita untuk lalukan sesuatu, bagi mengubah situasi agar dapat hasil yang menyelesaikan masalah kita. Perkara dalam “Circle of Control”, tindakannya ialah “DO”
CIRCLE OF INFLUENCE
Perkara yang luar kawalan kita tetapi kita masih ada peluang untuk ubah dengan bantuan orang lain yang lebih berkemampuan atau berautoriti. Contohnya, kita lapar tetapi tidak tahu memasak. Kita boleh ke dapur, keluarkan bahan-bahan (jika tiada, kita boleh usahakan untuk dapatkan) dan pujuk pasangan kita untuk memasak. Semua tindakan ini dalam kawalan kita, tetapi hasilnya bergantung kepada orang lain – pilihan mereka untuk lakukan (dalam kes ini, memasak) bagi kita mendapatkan hasil yang kita hajati (makan). Perkara dalam “Circle of Influence”, tindakannya ialah “TRY” melalui bantuan orang lain.
CIRCLE OF CONCERN
Perkara yang memberi kesan pada diri tetapi kita tidak ada jalan atau peluang secara langsung untuk mengubahnya.
Sebagai contoh, dalam bulan Ramadan, seorang Muslim diperintahkan berpuasa melainkan ada sebab yang membolehkannya berbuka. Jadi, walaupun lapar dan mahu makan, kita tidak dibenarkan sehingga waktu berbuka. Keadaan ini memberi kesan kepada diri, tetapi kita tidak dapat berbuat apa-apa sebagai individu kerana ia adalah perintah wajib ke atas seorang Muslim. Apa yang kita boleh lakukan adalah bersabar, mengambil perhatian tentang waktu berbuka dan memifirkan menu apa yang boleh dijadikan pilihan untuk berbuka kelak.
Perkara dalam “Circle of Concern“, tindakannya ialah “TAKE NOTE” untuk perhatian atau rujukan atau tindakan kemudian.
Kesimpulannya dengan memahami konsep ini, kita tidak perlu tertekan dengan perkara yang luar kawalan dan luar pengaruh kita. Yang penting ialah lakukan apa yang kita mampu lakukan dalam kapasiti diri secara individu.
“If you can’t do what you do, you do what you can!”