Keberkesanan strategi pemasaran digital sebenarnya bukan terletak pada kepandaian teknikal anda menggunakan Facebook, LinkedIn, Instagram dan sebagainya. Pemasaran digital juga bukan terletak kepada kepandaian anda menulis status yang menarik di sosial media. Pemasaran digital juga bukan terletak kepada kepandaian anda menyediakan video-video yang viral semata-mata.
Ia lebih mendalam dari ini semua.
Ia sebenarnya adalah salah satu cara dari pelbagai cara anda memasarkan produk atau perkhidmatan untuk membuatkan orang membeli. Cara yang digunakan ini ialah berbentuk digital, iaitu dengan mengambil kesempatan ke atas kuasa internet. Digital juga bukan satu-satunya cara anda patut memasarkan produk anda kerana terdapat pelbagai cara lain lagi.
Tabiat membeli, kemahuan, kehendak dan permintaan para pengguna di Malaysia kini telah sama sekali berubah berbanding 5 tahun dahulu dan sebelumnya. Begitu juga pada platform digital, semuanya kini berlainan. Apa yang berbeza? Ini di antaranya perkara-perkara yang perlu anda ambil kira untuk strategi pemasaran digital anda bagi tahun 2020:
Kehendak pembeli yang tidak boleh dibeli. Kini kehendak pembeli tidak lagi boleh ‘dibeli’ dan ‘disogok’ oleh iklan. Orang ramai kini menyampah dengan iklan. Kalau mereka nampak sahaja iklan yang menyelinap masuk ke dalam bahan-bahan di internet yang mereka ingin lihat, terus dan tanpa teragak-agak mereka akan menekan butang Tutup. Tahukah anda sekiranya para pengguna di luar sana ingin membeli sesuatu produk atau perkhidmatan yang mereka jumpa di internet, terang-terang ia bukan disebabkan oleh iklan yang mereka lihat?
Kandungan. Semakin banyak jenama kecil dan besar kini menggunakan media sosial dan kaedah pemasaran digital lain untuk membina autoriti mereka di pasaran. Mereka ingin mewujudkan rasa kebolehpercayaan untuk mendapatkan keyakinan dari para pengguna. Jadi mereka amat memerlukan bahan-bahan pemasaran bagi tujuan ini. Penulisan artikel, penyediaan video, merekabentuk grafik seperti poster dan infografik kini sangat diperlukan.
Kualiti produk, reka bentuknya dan pengalaman manis. Pemasaran melalui buah mulut hanya akan terjadi apabila seseorang itu merasa puas hati dengan kualiti produk dan pengalaman mereka dengan produk tadi. Dengan sendirinya mereka akan menceritakan kebaikan produk tersebut dan juga apa yang mereka alami iaitu pengalaman manis mereka kepada orang lain.
Tawaran nilai. Hanya jenama-jenama yang mempunyai nilai dari pandangan pengguna sahaja yang bakal bertahan dan terus hidup. Ia satu formula yang mudah. Grab adalah salah satu contoh yang terbaik. Perkhidmatannya sangat diperlukan dan bernilai pada pandangan para pengguna. Lihat bagaimana perkembangan jenama ini sekarang. Sekiranya jenama anda tidak dilihat bernilai, mungkin jenama anda akan menghitung hari sahaja untuk hidup.
Gajet, perkakasan mudah alih. Kini maklumat berada hanya di hujung jari sahaja. Sekiranya bahan pemasaran anda tidak interaktif untuk mudah dilihat dengan perkakasan mudah alih seperti telefon pintar dan tablet, mungkin para pengguna tidak dapat menemui bahan pemasaran anda. Dan apabila bahan anda tidak dijumpai, mereka tidak akan membeli produk atau perkhidmatan yang anda sediakan.
Ekonomi freelancer. Kini, kemampuan golongan freelancer ini mungkin hampir sama dengan kemampuan yang dimiliki oleh syarikat besar. Bezanya, harga yang ditawarkan mungkin jauh lebih murah berbanding syarikat-syarikat besar yang menyediakan perkhidmatan yang sama. Penjimatan sebegini amat menarik minat para pengguna untuk menggunakan khidmat mereka. Ia berkembang dengan begitu pesat sehinggalah ia dikenali sekarang sebagai ekonomi freelancer.
Iklan. Kepercayaan terhadap iklan kini semakin berkurangan. Lihat sahaja gambar sesuatu produk itu melalui iklan yang jenama-jenama ini keluarkan berbanding dengan melihat produk tersebut secara fizikal. Realitinya, ia amat berbeza. Kalau 5-10 tahun dahulu mungkin pengguna di luar sana masih lagi mudah ‘tertipu” tetapi kini para pengguna lebih bijak untuk membuat penilaian dan homework sebelum mereka membeli apa-apa produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apa yang akan mereka lakukan? Sudah semestinya mereka akan mencari review atau maklum balas sesiapa yang telah menggunakan produk yang ingin mereka beli terlebih dahulu.
Kuasa video yang overrated. Kini, semua orang ingin mengeluarkan bahan pemasaran mereka melalui video. Di Malaysia, keadaan tidak sama seperti di negara-negara Barat. Secara personal, saya berpendapat tidak semua pengguna gemar menonton video. Bahan-bahan pemasaran perlu diseimbangkan juga melalui penulisan, infografik dan lain-lain berdasarkan kehendak mata golongan yang disasarkan bagi produk atau perkhidmatan yang dijual.