Mudah. Sekiranya anda mampu menyediakan 4 faktor yang tersenarai dibawah, maka dengan sendirinya anda akan menjadikan para pelanggan anda kekal setia pada jenama produk atau perkhidmatan anda.
Produk atau perkhidmatan yang berkualiti. Untuk mempunyai produk atau perkhidmatan yang baik, anda perlu tahu ramuan yang terbaik untuk membuat produk itu sendiri, proses yang licin dibelakang tabir, tanggungjawab masing-masing dan sebagainya. Pengguna kini lebih cerdik berbanding dahulu. Mereka tahu tahap kualiti sesuatu produk dan adakah mereka membayar pada harga yang berpatutan dengan kualiti yang mereka terima. Sekiranya mereka merasakan yang pembelian itu tidak berbaloi maka dengan sendirinya mereka tidak akan datang lagi membeli dari anda.
Pengalaman manis. Produk yang baik perlu disertakan juga dengan menyediakan pengalaman yang manis buat pelanggan. Sekiranya kualiti makanan di restoran anda sangat sedap dan semua orang memuji masakan anda tetapi anda mengambil masa hampir satu jam untuk menghantar minuman ke meja atau mempunyai pekerja yang kurang ajar, sudah hampir pasti para pelanggan tidak akan kembali ke restoran anda.
Analisa mengapa pelanggan tidak lagi menggunakan jenama anda. Apabila para pelanggan sudah tidak lagi mahu membeli atau melanggan produk anda, mesti ada sesuatu yang tidak baik telah berlaku yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Di sini, anda perlu membuat analisa dan mencari sebab mengapa. Adakah ia faktor harga, kualiti produk, pengalaman yang tidak manis ataupun sokongan teknikal yang lambat.
Kekal aktif berinteraksi dengan mereka. Mungkin anda tidak perasan bagaimana sesuatu perhubungan itu boleh kekal lama, dan jawapannya ialah dengan berinteraksi di antara satu sama lain dengan konsisten. Tidak kira sama ada ia di antara suami-isteri, ibubapa dan anak, majikan dan pekerja dan juga jenama dengan para pelanggan. Tanpa interaksi yang berterusan dan aktif, mereka tidak akan teragak-agak untuk berubah hati dan mencari jenama lain yang lebih baik.