Sebagai seorang pemasar yang agak veteran, saya amat bersyukur kerana mampu menulis dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris dengan baik. Dengan kebolehan ini, ia telah banyak membantu melonjak jenama peribadi saya pada kedudukan yang baik berbanding dahulu. Kini, saya bukan sahaja mempunyai ruangan tetap di UtusanBiz, saya juga mempunyai dua majalah dalam talian dan juga menjadi penulis jemputan di beberapa penerbitan luar negara.
Sama seperti ingin lulus apa jua peperiksaan, untuk menjadi seorang penulis yang mahir, anda hanya perlu rajin secara konsisten dalam dua perkara – membaca dan berlatih. Mengapa? Pertama, anda dapat perhatikan bagaimana melihat satu corak atau konsep yang sesuai untuk anda gunakan. Kedua, anda mampu berkongsi mesej tertentu melalui penyediaan perkataan dan ayat yang sesuai dan ketiga, anda mampu ‘pedas’kan penceritaan tadi yang akan memberikan impak yang jauh lebih besar agar pembaca kekal membaca sehingga habis.
Penulisan juga akan membuatkan pemikiran anda lebih berstruktur dan sistematik. Sebelum ini, apabila kita berfikir tentang sesuatu, setiap perkara yang berkaitan akan berada di dalam fikiran kita secara berterabur. Cuba anda tuliskannya di atas kertas. Anda akan ‘terpaksa’ untuk membentuk satu cerita yang perlu mempunyai permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Malah cerita ini pula perlu difahami oleh pembaca.
Tahniah sekiranya anda mampu menulis dengan baik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris atau kedua-duanya. Secara automatik anda akan berjaya untuk mendapat autoriti yang baik dari para pengikut anda di media sosial dan juga di enjin pencarian. Takziah pula saya ucapkan sekiranya anda tidak mampu menguasai penulisan dengan baik kerana anda bakal menghadapi masalah yang serius nanti.
Apakah yang membuatkan sesuatu penulisan itu berkualiti dan akan dibaca oleh orang lain?
Tajuk yang kreatif. Ini untuk menarik perhatian pembaca. Kebanyakan pembaca akan membuat tatalan atau scrolling pada skrin peranti mereka sehingga mereka berhenti pada tajuk penulisan yang kreatif. Tajuk penulisan yang kreatif dan menarik akan menarik perhatian pembaca dengan lebih baik. Begitu juga dengan gambar dan video. Pembaca akan berhenti cuma pada gambar dan video yang kreatif dan menarik. Jadi, pastikan tajuk penulisan anda menarik.
Cerita juga menarik. Perhatian pembaca tadi pada mulanya akan tertumpu kepada tajuk. Setelah mereka melihat tajuk tadi menarik, mereka ingin terus membaca apa yang anda tulis. Jadi pastikan juga bahan penulisan anda tadi menarik juga. Sekiranya tidak menarik, mereka akan terus berhenti dan keluar ke tempat lain.
Penggunaan perkataan dan ayat yang mudah difahami. Jangan cuba nak berlagak hero walaupun anda seorang pakar dalam subjek tertentu. Penulisan yang baik ialah sekiranya anda mampu mengolah sesuatu yang kompleks dan teknikal menjadi lebih mudah dan senang difahami oleh pembaca.
Ejaan dan tatabahasa yang betul. Ramai yang mampu bercakap dengan baik tetapi tidak ramai yang mampu menulis dengan baik. Ejaan yang sentiasa salah dan tatabahasa yang berterabur akan menonjolkan kredibiliti jenama peribadi anda sendiri yang kurang meyakinkan kepada para pembaca dan bakal pelanggan. Ia akan menyukarkan perjalanan anda untuk mendapatkan autoriti yang baik.
Ayat yang pendek tetapi padat. Anda juga tidak perlu menulis ayat yang panjang-panjang kerana ia sangat menyusahkan pembaca untuk memahami apa yang anda cuba sampaikan. Gunakan ayat yang pendek tetapi padat dengan isi. Yang penting, aliran ceritanya mesti tersusun dan tidak berterabur.
Tidak terlalu formal dan tidak terlalu kasual. Tiada siapa yang ingin membaca buku teks sekolah. Sekiranya penulisan anda sebegini, mereka akan terus lari dari membaca apa yang anda tulis. Jangan terlalu formal dan jangan terlalu kasual, perlu seimbang di antara kedua-duanya.
Satu mesej dalam satu masa. Jangan sesekali memasukkan pelbagai mesej dalam satu ayat atau perenggan yang sama. Pembaca tidak akan faham apa yang cuba anda sampaikan. Asingkan satu mesej dengan mesej yang lain. Baru senang mereka baca dan faham.