Sejak Google News Initiative dilancarkan pada 2018, kami telah bekerjasama dengan pelbagai jenis organisasi berita tatkala mereka menyesuaikan diri kepada cabaran-cabaran dunia yang semakin digital, yang telah memberi kesan kepada model perniagaan mereka dan juga tingkah-laku pengguna. Program-program seperti GNI Labs telah membantu para penerbit menangani cabaran-cabaran perniagaan tertentu, seperti langganan digital, pengiklanan dan data, manakala peralatan seperti News Consumer Insights telah membantu ribuan bilik berita menggandakan jumlah pembaca mereka di atas talian.
Sepanjang tempoh tersebut, kami telah mempelajari dari rakan-rakan kongsi kami bahawa peralihan digital tidak berlaku semalaman. Ia memerlukan kerja keras berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun lamanya untuk menarik dan membentuk individu yang berfikiran digital, yang menerima pakai pemikiran berlandaskan data dan untuk membina budaya pembaca-dahulu. Menerusi GNI, kami mahu menyokong para penerbit sepanjang peralihan ini.
Oleh sebab itu, hari ini kami memperkenalkan sebuah program global bagi membantu para penerbit berita mengemudi kesukaran transformasi digital. Program GNI Digital Growth ialah sebuah program percuma bertujuan untuk membantu penerbit berita bersaiz kecil dan sederhana di seluruh dunia dalam membangunkan keupayaan yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan perniagaan di atas talian. Program tersebut dibentuk oleh pembelajaran dari projek-projek dan program-program GNI, dan dibina bersama pakar-pakar industri seperti FT Strategies, FTI Consulting dan Mather Economics, serta persatuan industri berita termasuk INMA, Local Media Association dan WAN-IFRA.
Program GNI Digital Growth pada mulanya akan tertumpu pada lima topik: Pendapatan Pembaca (Reader Revenue), Pembentukan Hadirin (Audience Development), Pendapatan Pengiklanan (Advertising Revenue), Data dan Produk. Kurikulum kami menyertakan playbook yang padat dengan contoh-contoh dunia sebenar, latihan interaktif bagi membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bengkel-bengkel untuk menghidupkan pengajaran tersebut dan Labs yang menawarkan sokongan penasihat secara langsung. Pada mulanya, kami akan menumpukan kepada topik Pendapatan Pembaca, yang akan diikuti topik-topik lain dalam bulan-bulan akan datang. Para penerbit yang turut serta akan mendapat akses kepada:
- Sebuah playbook yang menyeluruh, menawarkan strategi penerbitan dan contoh-contoh dunia sebenar bagi membantu membina dan mengoptimumkan model pendapatan pembaca
- Sebuah set latihan interaktif, termasuk latihan Ukuran Peluang bagi membantu para penerbit menganggarkan peluang bagi pendapatan pembaca mereka yang berpotensi, sebuah diagnostik Corong Pengguna bagi menentukan bahagian-bahagian yang memerlukan penambahbaikan merentasi metrik prestasi pembaca tertentu, dan sebuah latihan Tetapan Gol bagi membina pelan pertumbuhan pendapatan pembaca jangka panjang.
- Bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh pakar-pakar terbaik industri besertakan cadangan-cadangan perniagaan
- GNI Labs yang menawarkan sokongan peribadi dan bimbingan satu-demi-satu dari rakan-rakan industri kami
Para penerbit boleh mengakses playbook dan latihan percuma pada bila-bila masa di hab atas talian kami. Penyertaan bagi bengkel-bengkel pula adalah berdasarkan asas siapa-cepat-dia-dapat, manakala Labs boleh dapat diakses sebaik sahaja permohonan dibuat. Untuk mendaftar bagi siri pertama bengkel kami, sila layari halaman program GNI Digital Growth.
Kurikulum kami akan berubah dari masa ke masa, dan kami akan turut memperkenalkan sesi-sesi khas bagi para penerbit, seperti Transformasi Cetak-ke-Digital dan Syarikat Permulaan Digital.
Google telah lama melabur dalam sokongan bagi organisasi berita sepanjang penyesuaian model perniagaan mereka dalam landskap media yang sentiasa berubah. Oleh kerana itu, perkongsian pembelajaran kami bersama industri berita secara meluas telah menjadi batu penjuru bagi pendekatan Google News Initiative. Menerusi program GNI Digital Growth, kami berharap untuk membantu lebih banyak syarikat berita memikirkan tentang perniagaan digital dalam cara yang berlainan, membuka peluang-peluang pendapatan baru dan membina pertumbuhan atas talian yang lestari.