Unique Selling Proposition sangat penting kerana ia akan membezakan anda dengan pesaing yang lain melalui keistimewaan atau keunikan yang anda miliki.
Mengenal pasti keunikan atau USP yang ada dalam diri anda atau bisnes anda sendiri adalah sangat penting sama ada untuk anda mendapatkan pekerjaan, pekerja, sales, clients atau apa jua yang anda sasarkan. Hal ini kerana, ia membantu untuk menempatkan anda dalam kelas tersendiri dengan menggunakan keunikan dan keistimewaan anda yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Artikel ini menerangkan dengan lebih mendalam tentang USP, kepentingan USP, cara untuk mengenal pasti USP dan perkongsian Fara Naqui mengenai USP beliau sendiri.
Keunikan atau USP anda. Apa itu USP?
USP adalah Unique Selling Proposition. Ia merujuk kepada keunikan personal brand atau jenama bisnes anda. Rata – rata pemilik bisnes tidak tahu apakah USP atau keunikan bisnes mereka sendiri. Mereka tidak tahu apa yang membezakan diri dan bisnes mereka dengan yang pesaing yang lain. Dalam personal branding atau penjenamaan bisnes, mengenal pasti USP adalah merupakan komponen yang sangat penting.
Kepentingan untuk mengetahui keunikan atau USP anda
USP sangat penting kerana ia akan membezakan anda dengan pesaing yang lain melalui keistimewaan atau keunikan yang anda miliki. Persoalan seperti apakah kelebihan produk anda, kenapa mereka harus membeli dengan anda dan mengapa mereka harus memilih perkhidmatan anda akan mudah terjawab apabila USP atau keunikan bisnes anda telah dikenalpasti.
Sama juga bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, persoalan seperti mengapa mereka perlu memilih anda untuk bekerja berbanding calon yang lain akan mudah terjawab apabila anda tahu apakah keunikan atau USP anda sendiri.
Dalam kepesatan dunia internet seperti sekarang ini, terlalu banyak perniagaan yang menjual produk atau perkhidmatan yang sama dan terlalu ramai orang yang mempunyai kemahiran yang sama. Jadi, USP ini yang akan menjadi mark point bagi membezakan setiap bisnes atau setiap orang itu dengan pesaingnya yang lain.
USP dapat meneroka apa yang menyebabkan sesuatu bisnes atau seseorang itu istimewa berbanding yang lain. Disebabkan terlalu banyak persaingan, mahu atau tidak, anda harus menonjol dengan menampilkan keunikan atau USP anda tersendiri. Dengan kata lain, USP ini adalah superpower yang anda miliki.
Cara untuk mengenal pasti keunikan atau USP anda.
- Pertama sekali, apakah pengalaman lalu (experience) yang dapat memberi kesan yang besar dalam kehidupan anda? Pengalaman yang dimaksudkan disini adalah pengalaman yang menjadi passion dan prinsip hidup anda sehingga kini.
Antara figura terkenal yang boleh dijadikan contoh adalah, Oprah Winfrey. Pengalaman hidup beliau yang mahal iaitu membesar dalam keadaan serba kekurangan telah membentuk prinsip hidupnya untuk menjadi seorang yang kuat dan tidak mudah mengalah dan telah membawa beliau untuk berjaya pada hari ini.
- Kedua, sikap (attitude). Apakah sikap anda yang membezakan anda dengan orang lain? Sebagai contoh, anda seorang yang extrovert atau ramah. Anda tidak takut untuk bercakap dengan orang yang anda baru kenali. Jadi, jika anda mencari pekerjaan, anda harus mencari jawatan yang bidang kerjanya tertumpu kepada komunikasi dan pengurusan.
- Ketiga, pendekatan (approach). Apa pendekatan yang boleh anda gunakan untuk menonjolkan dan membezakan diri anda dengan pesaing yang lain? Ia berkait rapat dengan latar belakang pendidikan dan kerja anda. Contohnya, seorang part time financial consultant yang bekerja sebagai seorang guru secara sepenuh masa akan menggunakan pendekatan yang berbeza dengan seorang financial consultant yang bekerja secara sepenuh masa.
- Keempat, falsafah atau pegangan hidup (philosophy). Sebagai contoh, Steve Jobs. Pegangan hidup beliau adalah untuk menjadi unik atau berlainan dengan yang lain. Ia terbukti dalam kejayaannya menjadikan jenama Apple sebagai jenama yang berada di dalam kelas tersendiri bersama sasaran penggunanya yang tersendiri.
Perkongsian Fara Naqui mengenai USP beliau
Bagi Fara Naqui sendiri, beliau mendapati bahawa USP beliau adalah street smart. Jadi beliau menggunakan USP street smart ini sebagai pendekatan bagi menonjolkan dan membezakan bisnes beliau antara pesaing yang lain. Beliau meneroka USP ini melalui pengalamannya yang bertahun – tahun mengendalikan bisnes. Falsafah hidup beliau pula adalah bereksperimentasi, meneroka dan membuat sesuatu yang baru.
Akhir kata, USP adalah sangat penting sama ada untuk anda mendapatkan pekerjaan, pekerja, sales, clients atau apa jua yang anda sasarkan bagi menempatkan anda di kelas tersendiri sekaligus membezakan anda dengan pesaing yang lain. USP ini umpama cap ibu jari yang membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain. Ia menjadi personal brand bagi seseorang atau sesebuah bisnes tersebut.