Untuk memasarkan kredibiliti diri anda sendiri di Malaysia, tidak kira sama ada dengan tujuan untuk mendapatkan pekerjaan, ingin mendapatkan autoriti, memperkembangkan jaringan profesional, mencari projek dan sebagainya, tidak ada cara lain lagi yang lebih efektif lagi selain dari menulis secara profesional dengan baik.
Walaupun kandungan video sedang rancak dan mula mendapat tempat di hati para penggemar sosial media kini, namun ia perlu juga mempunyai penulisan status media sosial yang baik bagi mengiringi video tadi bagi menarik pandangan pertama orang ramai. Di samping itu, video tadi perlu juga diikuti dengan penulisan skrip pada paparan skrin kerana tidak ramai yang melihat video bersuara di peranti mudah alih mereka kecuali ia benar-benar menarik. Kebanyakannya lebih gemar menonton dalam keadaan tidak bersuara kerana mereka mungkin berhasrat untuk hanya ingin singgah sebentar sahaja sebelum meneruskan ‘perjalanan’ tatalan mereka ke tempat lain ataupun takut dengan bunyi dari video itu akan menganggu keadaan persekitaran.
Dengan kata lain, walau sehebat mana pun anda dengan pembikinan video, penulisan yang baik dan beremosi yang mendatangkan kesan kepada para penonton juga mempunyai peranan penting.
Saya melihat generasi masa kini yang tidak lagi mahir dalam penulisan terutamanya dalam Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris ataupun kedua-duanya. Mereka nampak mahir ketika bercakap tetapi kualiti penulisan mereka sangat-sangat menakutkan. Untuk menulis dalam Bahasa Malaysia pun tidak boleh, untuk menulis dalam Bahasa Inggeris pun tidak boleh. Ini menjadikan kedudukan mereka sangat sukar untuk bergerak jauh dalam karier profesional mereka.
Saya banyak menerima permintaan dari para pemasar digital dari dalam dan luar Malaysia untuk menulis di laman web milik syarikat saya tetapi hampir 95 peratus permintaan terpaksa saya tolak kerana tidak boleh menulis dengan baik. Kebanyakan dari mereka tidak mahir dengan ejaan walaupun ia terlalu mudah, mempunyai kesalahan tatabahasa yang terlalu teruk yang tidak sanggup saya lihat dan akhir sekali aliran cerita yang berterabur. Biasanya aliran cerita perlu mudah difahami dan sedikit dramatik, baru menarik.
Bagi saya, pemasar yang baik perlu mempunyai tahap penulisan yang baik. Kalau anda tidak mahir menulis, sukar untuk anda membantu pelanggan anda dalam strategi pemasaran akan dibina. Anda juga bakal menghadapi kesukaran untuk membina kekuatan jenama peribadi anda sendiri. Autoriti anda sebagai seorang thought leader akan goyang apabila orang melihat pelbagai kesalahan ejaan dan tatabahasa dalam penulisan anda.
Konsep yang sama juga boleh digunapakai ketika anda memohon sesuatu pekerjaan. Ya, mungkin anda boleh mengupah orang lain untuk menulis resume anda agar kelihatan hebat. Mungkin juga anda boleh menghadapi temuduga dengan baik dengan kepetahan anda bercakap. Tetapi rahsia yang anda sebenarnya tidak boleh menulis akan mula terkeluar sedikit demi sedikit apabila karier anda bermula di syarikat tersebut. Dalam sebulan dua sahaja, majikan atau pihak pengurusan syarikat anda bekerja itu pasti akan perasan yang sebenarnya anda tidak mampu melakukan apa jua pekerjaan kerana penulisan anda terlalu teruk. Tulisan di e-mel hancur, penulisan laporan mingguan atau bulanan anda juga hancur malah penulisan proposal untuk diberikan kepada pelanggan juga akan turut hancur berkecai. Bukan itu sahaja, reputasi anda juga akan turut terpalit dengan situasi buruk ini.
Dengan dua contoh di atas, anda sendiri boleh perhatikan bagaimana sukarnya sesuatu keadaan itu berlaku apabila anda tidak mampu menulis dengan baik. Mungkin anda tidak akan mampu pergi dengan lebih jauh dengan gaya penulisan pasar yang terlalu berunsurkan WeChat itu. Jadi, sebelum anda terjerumus dengan lebih jauh lagi ada baiknya anda mula belajar sedikit demi sedikit bagaimana hendak menulis secara profesional.
Hendak tahu bagaimana untuk belajar menulis dengan baik. Ada tiga cara mudah;
Membaca. Pertama, anda tidak boleh lari dari membaca. Anda boleh mulakan dengan suratkhabar dan majalah, kemudian diteruskan lagi dengan buku-buku yang lebih tebal.
Mendengar. Kedua, anda juga boleh mendengar lagu di radio ataupun Spotify, mendengar podcast, mengikuti program-program tertentu.
Berlatih. Apabila proses pertama dan kedua berada pada momentum terbaik, anda perlu berlatih menulis. Mulakan dengan satu atau dua perenggan terlebih dahulu dan kemudiannya anda boleh kembangkannya kepada beberapa perenggan apabila telah mahir.
Tahukah anda penulisan yang baik akan membantu membina pemikiran yang berstruktur?