Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Siapa yang tidak kenal lagu ini?
Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul
Ikan tak mahu timbul’
Ikan oh ikan, kenapa kau tak timbul?
Macam mana aku tak timbul, rumput panjang sangat
Rumput panjang sangat
Rumput oh rumput, kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
Kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku tak makan, perut aku sakit
Perut aku sakit
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah
Makan nasi mentah
Nasi oh nasi, kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah
Kayu api basah
Kayu oh kayu, kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku
Hujan timpa aku
Hujan oh hujan, kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa, katak panggil aku
Katak panggil aku
Katak oh katak, kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku
Ular nak makan aku
Ular oh ular, kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan, memang makanan aku
Memang makanan aku
Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat indah.
Bahasa Melayu juga mempunyai budaya mendidik yang sangat halus seninya sehinggakan adakalanya, tidak difahami oleh pentuturnya sendiri. Bahasa Melayu bukan sahaja menyampaikan maksud tersurat, tetapi sarat dengan makna tersirat.
Lagu “Bangau oh bangau” sebagai contoh, adalah salah satu contoh seni mendidik cara tersirat. Ada dikalangan kita, melihat lagu ini sebagai satu pengaruh negatif. Negatif kerana lirik lagu itu mengisahkan seekor bangau yang kurus tetapi seakan-akan menyalahkan benda lain sebagai penyebab kepada kondisi yang dialaminya. Budaya menyalahkan orang lain dikatakan berpunca daripada lagu ini.
Ini tersurat. Apa yang biasa orang nampak dahulu. Tetapi seni mendidik kita tidak ‘direct’ seperti budaya barat. Maka, kita juga perlu lihat maksud yang tersirat.
Lagu “Bangau oh bangau” sebenarnya mengajak kita membiasakan diri dengan bertanya, “Kenapa” (why) dan tidak berputus asa mencari punca sebenar “masalah”. Tanpa kita sedari, kita adalah watak penting dalam lagu “Bangau oh bangau” kerana kita yang bertanya “kenapa” dan menggerakkan penceritaan lagu tersebut. Kalau Jepun popular dengan kaedah “5-Why”, kita dididik sejak kecil dengan lagu ini untuk bertanya lebih banyak “kenapa” – 10 kali kenapa!
Soalannya sekarang, kenapa kita selalu merendah-rendahkan budaya bahasa kita sendiri?
Sebagai trainer berbangsa Melayu, walaupun saya tidak sentiasa mengajar dalam bahasa ibunda, dan saya juga tidak mengambil jurusan bahasa, saya sebenarnya sayang pada seni bahasa saya sendiri. Pantun, peribahasa, cerita rakyat, semua ini menunjukkan betapa kayanya bahasa dan budaya Melayu dalam memberikan contoh dan tauladan.
Pada saya, Si Bangau tidak bersalah. Malah, saya kasihan dengannya kerana hanya nampak satu perspektif sahaja. Yang salah adalah mereka yang gagal melihat gambaran yang lebih besar dan tujuan pengajaran yang hendak disampaikan oleh lagu tersebut. Selain mencari punca, lagu tersebut sebenarnya mendidik pengajaran lain juga seperti mengenal rentetan peristiwa, memahami kesan tindakan kita kepada orang lain, melihat rangkaian ekosistem dan akhir sekali, mengakui fakta seperti yang dikata oleh Si Ular, “Memang makanan aku.”
Jadi, secara peribadi saya rasa elok lagi Si Bangau, daripada Si Ketam yang cuba mengajar anaknya jalan lurus.