Saya nampak tahun 2020 ini sangat mencabar. Walaupun kini kita semua rata-rata melihat dengan mata kita sendiri dan mendengar dengan telinga kita sendiri tentang bagaimana peritnya sesetengah orang di luar sana menghadapi masalah peribadi mereka akibat ekonomi yang terjejas teruk, saya nampak keadaan ini baru sedikit.
Saya pasti keadaan akan menjadi lebih teruk lagi selepas ini. Saya tidak mempunyai apa-apa bukti jelas untuk menyokong pendapat saya ini tetapi rumusan ini dibuat berdasarkan kepada apa yang saya baca, apa yang saya lihat dan dengar serta apa yang saya sendiri alami pada ketika ini.
Sebagai seorang yang agak pendiam dan tidak gemar bercampur dengan orang, saya jarang keluar rumah dan banyak menghabiskan masa dengan membaca, memerhati, menulis dan menyelesaikan kerja-kerja untuk pelanggan syarikat pemasaran saya NSE. Walaupun mempunyai kakitangan, tetapi bos tetap kena kerja juga. Kakitangan saya, mereka juga digalakkan untuk bekerja di mana mereka selesa. Di rumah, di Starbucks, di kedai mamak atau mana-mana sahaja. Yang penting, kerja mesti siap pada waktu yang sepatutnya.
Tata kerja sebegini sangat menjimatkan kos. Walaupun begitu, saya kini menghadapi kesukaran untuk mempertahankan para pelanggan yang ada. Saya juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelanggan yang baharu. Hari ini, walaupun keadaan masih lagi terkawal dan pengaliran pembayaran dari para pelanggan masih lagi ada, jumlahnya semakin mengecil. Dari bulan ke sebulan, amaun yang dibayar semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Mulai bulan Mac lalu, seorang demi seorang menghantar pesanan ringkas dan e-mel memberitahu yang mereka tidak akan meneruskan perkhidmatan pemasaran digital lagi. Dari pengurusan media sosial kepada sesi perundingan bulanan dan juga penulisan blog untuk ranking di Google, mereka berhasrat untuk berhenti.
Mengapa?
Kebanyakan mereka juga tersepit, ini sangat jelas. Pendapatan mereka juga terjejas teruk. Jadi secara automatiknya, mereka terpaksa bertindak mengurangkan kos yang ada dan memaksimumkan penjimatan agar terus kekal hidup. Konsep apa yang boleh dilakukan sendiri, kita akan lakukannya sendiri digunapakai. Bagi syarikat-syarikat besar pula, peruntukan kewangan mula dipotong sana-sini. Kadar bayaran yang sepatutnya mengikut kadar pasaran kini menjadi satu amaun yang tidak masuk akal. Yang tinggal kini hanyalah pelanggan-pelanggan yang terdiri dari syarikat-syarikat yang betul-betul tidak mempunyai kakitangan dan sumber dalaman yang mencukupi untuk terus menguruskan media sosial, strategi pemasaran dan penulisan blog mereka. Kata kunci di sini ialah perlu.
Saya melihat sesiapa sahaja yang menyediakan perkhidmatan yang ‘tidak begitu penting’ kini berada dalam keadaan merbahaya. Contohnya, perkhidmatan pemasaran digital yang saya sediakan sejak bertahun dahulu. Kestabilannya sedikit goyang hari ini. Tidak seperti perkhidmatan lain yang ‘penting’ seperti penghantaran makanan atau menggunting rambut, perkhidmatan pemasaran digital sekarang tidak lagi menjadi keperluan. Sekarang ia telah bertukar menjadi kalau ada bagus, kalau tidak ada masih boleh hidup lagi apa.
Selain dari itu, faktor kedua mereka tidak lagi berminat untuk meneruskan khidmat pemasaran digital ialah kerana mereka sudah tahu selok-belok bagaimana melakukannya. Selama mereka menggunakan khidmat ini, secara diam-diam mereka belajar bagaimana untuk melakukannya, bagaimana untuk menulis, bagaimana untuk itu dan bagaimana untuk ini. Setelah beberapa bulan meneliti dan membuat pemerhatian, akhirnya mereka faham tentang ‘permainan’ ini dan tahu bagaimana pengendaliannya. Kemudian mereka berhenti dan melakukannya sendiri. Ini normal, sesiapa sahaja akan berbuat demikian. Buat apa bayar orang lain beratus atau beribu-ribu Ringgit sebulan kalau boleh buat sendiri.
Mungkin strategi saya kurang tepat dahulu kerana terlalu mengutamakan pelanggan-pelanggan individu, bisnes kecil dan runcit. Kelompok ini agak licik dan mudah tergugat dengan ketidakstabilan ekonomi. Menyedari tentang situasi ini, saya bernasib baik apabila masih sempat membuat sedikit perubahan haluan pada awal tahun lalu dengan mendapatkan beberapa kontrak dari syarikat yang bersaiz sederhana dan besar. Walaupun begitu, dengan berhentinya pelanggan individu dan bisnes bersaiz kecil ini, impak dari aspek kewangan boleh dirasai dan nampak dengan jelas.
Saya secara jujurnya tidak menyangka ia akan berlaku dengan begitu cepat. Tahun 2018 dan 2019 lalu, ada beberapa penerbitan terkenal dunia yang berpusat di Barat mengeluarkan satu senarai industri-industri yang dijangka sangat diperlukan oleh pasaran untuk tahun 2019 dan 2020. Saya nampak perkhidmatan pemasaran digital tersenarai di antara yang teratas. Ini sudah bagus. Ketika membacanya, saya tersenyum keseorangan kerana industri pemasaran digital ini nampak lebih kebal berbanding yang lain. Ini juga bermakna, saya berada pada landasan yang tepat dan mampu pergi lebih jauh lagi. Saya tahu, benda yang berada di ‘atas’ akan ke ‘bawah’ juga akhirnya. Cuma sama sekali tidak menyangka yang ia akan turun dengan begitu pantas.
Pada bulan Disember 2017, saya bersama dengan seorang lagi rakan niaga saya, telah mewujudkan satu projek jangka panjang. Ia sebagai langkah alternatif kepada bisnes yang sedia ada sekiranya ia ‘bungkus’. Sebagai seorang pemikir strategi, menjalankan hanya satu jenis bisnes sahaja amat berisiko tinggi. Saya memerlukan satu bisnes yang mampu menjana pendapatan secara tetap dan satu lagi bisnes yang mampu memberikan pendapatan jangka panjang. Kalau kedua-duanya berjaya tidur saya pasti lena.
Idea mewujudkan bisnes yang berasaskan platform ini terhasil daripada bacaan saya tentang YouTube. Platform bermakna satu tempat yang menjadi titik pertemuan di mana semua pihak dapat berinteraksi di antara satu sama lain, membeli dan menjual, memuatnaik sesuatu dan membaca atau menonton apa yang dimuatnaik, dan sebagainya. Pemilik platform di samping menyediakan tempat dan fasiliti-fasiliti yang berkaitan, mereka lebih cenderung kepada menggalakkan pihak-pihak yang berinteraksi tadi melakukan sesuatu dan terus berada di tempat ini. Dan pulangan dari pelaburan boleh diperolehi dari kedua-dua pihak yang datang berinteraksi di platform yang dibina itu.
Dengan berbekalkan sedikit wang yang tidak berapa ada di bank, kami mewujudkan platform perkongsian kandungan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, Marketing In Asia dan Azleen.com. Kedua-dua platform ini menggalakkan pembuat kandungan seperti penulis artikel, perekabentuk grafik, penggemar video, podcast dan persembahan slaid untuk membina dan seterusnya memuatnaik kandungan-kandungan mereka di kedua-dua platform ini. Melalui kandungan yang dimuatnaik, platform-platform ini akan membantu menarik trafik internet untuk datang dan melihat kandungan-kandungan yang ada.
Mengambil kira faktor kekurangan modal, projek ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melihat pulangan yang lumayan. Dengan kata lain, hasil hanya akan dapat dilihat pada penghujung tahun 2021. Lagi setahun lebih. Itu perancangan asal saya.
Dengan pendapatan yang masih tidak seberapa dari kedua-dua platform ini, saya perlu melakukan sesuatu agar syarikat pemasaran digital saya dapat bertahan untuk sedikit masa sahaja lagi.
Kami menggunakan strategi ini. NSE perlu terus mengekalkan kualiti perkhidmatan yang terbaik agar pelanggan-pelanggan yang ada sekarang ini kekal. Ini yang paling utama. Kita cuba mengawal apa yang boleh dikawal, itu sahaja. Kedua, kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi mencari pelanggan yang baharu yang akan kekal lama. Ini boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu menggunakan iklan-iklan di media sosial, menulis artikel yang berimpak tinggi di laman-laman web milik sendiri dan akhir sekali menulis artikel-artikel yang menarik secara berterusan sebagai penulis jemputan di laman-laman web yang popular di luar sana. Saya agak bernasib baik kerana mempunyai ruangan di Utusan Malaysia dan menulis untuk mereka setiap Selasa.
Untuk kelihatan di media sosial, hanya iklan sahaja yang mampu memberikan impak. Kalau setakat muatnaik status sahaja, memang susah. Walaupun berpuluh kali sehari memuatnaik status pun, hanya kurang 3-4 peratus sahaja yang akan dapat nampak. Manakala di Google pula, penulisan artikel yang mampu berada pada mukasurat pertama sahaja yang akan mendapat perhatian. Kalau artikel saya berada di mukasurat kedua, ketiga dan seterusnya, baik tak payah. Jadi, kebolehan menulis artikel yang bakal menduduki ranking yang tinggi di enjin pencarian seperti Google adalah sangat-sangat penting.
Saya melihat menyediakan perkhidmatan pemasaran digital melalui syarikat saya NSE tidak akan dapat bertahan lama. Paling lama pun mungkin dalam 2-3 tahun ini sahaja. Kemudian ia pasti akan menghadapi masalah. Terima kasih kepada lambakan perkhidmatan pemasaran digital yang wujud di pasaran pada hari ini. Dengan persaingan yang gila dan hampir semua orang menawarkan perkhidmatan yang rata-rata sama sahaja, industri ini dengan rasminya telah menjadi satu komoditi. Apabila sesuatu perkhidmatan atau produk itu menjadi komoditi, yang akan membezakan antara satu sama lain hanyalah harga.
Walaupun NSE memiliki asas tawaran nilai yang kukuh seperti perkhidmatan yang berkualiti, pengalaman yang luas, kredibiliti yang baik, proses yang sistematik dan pelanggan-pelanggan yang masih ramai dan ada yang terkenal, namun ia tidak akan mampu bersaing dengan mereka yang menawarkan harga yang terlalu murah. Dengan melihat tabiat pasaran tempatan yang lebih gemar membuat sesuatu keputusan berdasarkan harga yang merupakan faktor utama, saya sama sekali tidak berminat untuk terus berada dalam sektor komoditi untuk tempoh yang lama.
Jadi, untuk kekal relevan pada tahun ini dan 2-3 tahun yang akan datang, strategi saya ialah untuk mempertahankan apa yang ada di NSE di samping cuba untuk kembangkannya sedikit lagi dengan mencari pelanggan-pelanggan yang bersaiz sederhana dan besar, yang bukan runcit. Tetapi strategi jangka panjang saya ialah Marketing In Asia dan Azleen.com dan saya melihat kedua-dua platform ini sebagai penyelamat utama saya dan keluarga.