Sesiapa yang pernah mohon nasihat daripada saya mengenai halatuju kerjaya sebagai trainer pasti pernah dapat jawapan ringkas ini daripada saya: Fokus!
Ramai yang berhenti di situ dan mengucapkan terima kasih. Mungkin mereka sentap atau anggap saya sombong atau tidak mahu memberi tahu trade secret saya. Salah faham ini biasa. Hak membentuk pendapat adalah hak individu. Namun, sesekali akan muncul mereka yang berani untuk tanya lebih lanjut. Mereka tanya saya, “Apa maksud tuan dengan “fokus”?”
Pilih satu. Ini formula saya untuk “fokus”. Boleh ajar topik kepimpinan, pengurusan masa, komunikasi, pembentangan berkesan, pemikiran kreatif… pilih satu. Target market dalam bidang latihan ada banyak, termasuk sekolah, IPTA, jabatan kerajaan, syarikat korprat… pilih satu. Ada kerja tetap, mahu buat training part time, mahu jadi freelance trainer, mahu buka syarikat penyedia khidmat latihan sendiri… pilih satu. Apabila kita ada satu (1) jawapan kepada semua di atas, insyaAllah kita senang untuk dapat niche. Apabila sudah ada niche, “berkomunikasi”lah dengan fokus tersebut. Bagaimana?
Mari kita lihat apakah elemen-elemen komunikasi.
- Sender. Diri kita. Apakah imej diri yang kita komunikasikan? Apakah laras bahasa yang kita gunakan? Apakah mesej tersirat yang kita sampaikan? Adakah semua ini selari dengan fokus kita?
- Channel. Saluran komunikasi kita. Bagaimana komunikasi kita di media sosial? Apabila membalas mesej berbentuk teks? Apabila di telefon? Atau semasa bersemuka? Adakah saluran komunikasi kita selari dengan fokus kita?
- Medium. Pilihan bentuk komunikasi. Apakah tahap keselesaan kita berkomunikasi secara verbal? Secara teks? Adakah kita tahu bezakan medium formal dan tidak formal? Apakah medium pilihan receiver pula? Adakah medium yang kita pilih selari dengan fokus kita?
- Receiver. Target market atau fokus kita tadi. Bagaimana mereka menterjemah komunikasi kita? Apakah konten yang menarik minat mereka? Bilakah waktu yang selesa untuk mereka menerima komunikasi daripada kita? Adakah kita benar-benar fokus untuk berkomunikasi dengan mereka?
- Feedback. Tindak balas receiver yang memberi input kepada komunikasi kita. Tiada feedback boleh membawa maksud komunikasi kita mungkin tidak berkesan pada receiver. Adakah kita menerima maklum balas yang selari dengan fokus kita?
- Context. Atas dasar apa komunikasi itu berlaku. Ini termasuk, antara lain seperti masa, tempat, situasi dan juga sikap sender dan receiver. Adakah ia selari dengan fokus kita?
- Noise. Gangguan (interference) yang boleh menggugat komunikasi daripada diterima dengan baik. Noise bukan saja datang dari faktor luaran tetapi juga dalaman seperti terleka atau teralih pandangan disebabkan sibuk dengan perkara lain (ahli keluarga sakit, rungsing dengan masalah kewangan dll). Noise juga boleh berlaku pada kedua-dua belah pihak sender dan receiver. Adakah kita peka dengan “noise” menghalang fokus kita?
Tujuh (7) elemen komunikasi di atas perlu diambil perhatian. Cuba review (nilai semula), sebagai contoh, hantaran-hantaran kita dalam tempoh dua (2) minggu kebelakangan ini. Adakah kita berkomunikasi dengan fokus atau hanya berkomunikasi secara reaktif – semua isu pun kita hendak komen, semua benda pun kita hendak cerita?
Selamat mencuba!