Facebook, platform media sosial kegemaran rakyat Malaysia untuk bersosial. Yang berniaga pun tidak kurang hebatnya juga. Berniaga di Facebook secara teorinya nampak senang, tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangka. Melihat orang lain melakukannya nampak mudah dan ‘menjadi’, tidak bermakna formula yang sama boleh digunapakai untuk perniagaan kita.
Sama seperti memandu kereta, kita sebagai penumpang yang duduk di sebelah kalau tengok si pemandu mengemudi kenderaan dan memacu laju di jalan raya memang nampak mudah. Tetapi apabila kita pula yang berada di tempat duduk pemandu tadi, mahu berpeluh juga sekiranya kita pun masih lagi baharu dalam bab pemanduan.
Para peniaga di Facebook gemar berpaksikan jumlah tularan atau virality untuk status-status yang mereka muatnaik. Mereka akan resah sekiranya jumlah Like dan komen yang ada tidak lebih dari sepuluh. Ada yang sanggup merayu dan menulis apa sahaja untuk meminta rakan-rakan untuk mendermakan Like mereka semata-mata mahu mendapatkan 1,000 Like atau 5,000 komen.
Ada pula yang ‘panas’ apabila melihat status rakan mereka yang tular tetapi status yang hampir sama yang mereka muatnaik hanya sekadar mempunyai 2 Like sahaja.
Tahukah anda secara realitinya, mempunyai jumlah Like dan komen yang tinggi tidak semestinya akan mendapatkan jualan yang tinggi? Saya dari jauh memerhatikan beberapa jenama tempatan di Facebook yang tular dan memperolehi beribu-ribu Like dan komen pada status-status mereka yang strategik. Tetapi jualan produk mereka masih lagi bermasalah. Statistik yang disediakan oleh Facebook sekiranya status anda tular memang nampak ‘ganas’ tetapi sekiranya tiada jualan, pihak pengurusan syarikat pasti akan mencari anda untuk jawapan mengapa.
Apakah yang membuatkan orang membeli di Facebook atau secara dalam talian?
Terdapat beberapa faktor penting mengapa yang orang membeli. Pertama, mereka berasakan produk anda mampu membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi selama ini. Kedua, mereka berasakan juga produk anda mampu membantu kehidupan mereka menjadi lebih baik dari sekarang. Ketiga, sekiranya mereka tidak membeli produk anda sekarang, mereka berasakan kehidupan mereka tidak akan sempurna.
Ketiga-tiga faktor ini juga turut dikukuhkan lagi oleh tiga kriteria penting pemasaran efektif iaitu kualiti produk yang baik, juga pengalaman manis ketika mereka menggunakan produk tadi atau pada ketika mereka berurusan dengan anda dan kepercayaan mereka kepada kredibiliti jenama anda di pasaran.
Ini sebab-sebab utama mereka membeli dari anda dan bukannya dari orang lain. Dengan memahami sebab sesuatu pembelian itu dilakukan dan bagaimana pembeli membuat keputusan untuk membeli, proses pemasaran anda akan menjadi mudah.
Bagaimana kaedah yang patut anda lakukan di Facebook bagi mendapatkan jualan secara konsisten?
Pasukan yang mengendalikan media sosial agensi saya, NSE – Social Media Manager, mempunyai 3 taktik yang mereka sering gunakan bagi mendapatkan pelanggan berbayar secara konsisten. Anda mungkin boleh menggunakan konsep yang sama tetapi sesuaikan dengan keadaan di syarikat anda. Jom kita lihat.
Profil yang menunjukkan jenama anda berkredibiliti. Untuk pengetahuan anda, NSE – Social Media Manager adalah agensi yang tidak begitu besar. Kecil sahaja, tetapi ia mempunyai penampilan yang jauh lebih besar dari saiznya di Facebook dan juga media sosial lain. Ia kelihatan besar dan global. Kalau saya katakan yang agensi ini bukan milik orang Malaysia, mungkin orang akan percaya. Penulisan profilnya juga mempunyai mesej tersirat yang menyatakan kepada pembaca bahawa mereka boleh percayakan agensi ini. Anda tidak perlu memberitahu yang syarikat anda besar dan hebat tetapi menulis tentang sesuatu yang cukup untuk membuatkan mereka berfikir yang syarikat anda besar.
Penulisan status yang profesional. Tidak salah untuk menulis status-status Facebook syarikat anda dalam bahasa kebangsaan, bahasa ibunda, Bahasa Inggeris atau bercampur-campur di Facebook, selagi ia bersesuaian dengan penerimaan sasaran pasaran anda. Yang penting di sini ialah ia perlu kelihatan tidak terlalu ‘keras’ seolah-olah pembaca membaca buku teks sekolah ataupun terlalu kasual seolah-olah ini aplikasi WeChat. Walau apa pun perniagaan anda, penulisan status anda perlu profesional sebagai sebuah jenama yang bertanggungjawab.
Bajet untuk iklan. Semua orang tahu Facebook ialah platform yang anda perlu bayar untuk bergerak dengan lebih jauh dan berkesan. Kadar minimumnya tidak mahal, hanya RM3 sehari. Peruntukkan sedikit wang setiap minggu, sedikit pun tidak mengapa. Janji ada.