Saya bukan seorang yang kaya-raya. Susah pun tidak juga. Pendapatan saya biasa-biasa sahaja. Orang berniaga. Kata orang, ada kerja ada gaji. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi ada juga masanya kais pagi dan petang pun tidak dapat makan juga. Ada pula masanya, kais pagi sahaja, tetapi dapat makan sampai petang esoknya. Rezeki Allah SWT, kita terima seadanya. Adat orang berniaga, ketika rezeki lebih, perlu ingat untuk menyimpan dikala susah kerana apabila masa susah nanti, keadaan dirumah masih lagi terkawal.
Walaupun saya nampak tenang, dalam hati tiada siapapun tahu. Betul tak? Terutamanya ketika musim ‘kemarau’. Rasa risau ada, rasa sedih pun ada. Maklumlah, ada beberapa perbelanjaan penting yang tidak dapat tidak, mesti dibayar. Contoh terdekat ialah gaji pekerja, elaun freelancers, duit perbelanjaan dapur, anak-anak dan bil-bil utiliti penting.
Namun, nasib saya tidak seteruk kawan-kawan saya yang lain.
Tidak kira sama ada mereka seorang profesional, mahupun yang berniaga, rata-rata sangat susah. Pandemik COVID-19 telah mengubah segala-galanya. Kebanyakan dari mereka sedang terkapai-kapai seolah-olah kehilangan arah tuju. Perniagaan yang merosot teruk akibat ketiadaan pelanggan, kehilangan pekerjaan tetap, tiada pendapatan tetapi anak sulung perlu berdaftar di pusat pengajian tinggi yang perlukan wang pendaftaran yang agak tinggi, duit belanja rumah yang hampir tiada, anak-anak yang sakit dan perlu mendapatkan rawatan di hospital dan pelbagai masalah lagi yang saya sendiri tidak sanggup untuk fikirkannya.
Mungkin saya agak bernasib baik. Ketika saya belajar di Universiti Utara Malaysia, Sintok dahulu, duit poket saya ditampung sepenuhnya oleh perniagaan sewa novel yang saya bina bersama tiga lagi rakan seuniversiti ketika itu. Bukan sahaja cukup untuk minyak motosikal RXZ saya yang hitam manis itu, tetapi juga duit makan minum, belanja kawan-kawan, duit sewa kereta pergi meronda ke Pulau Pinang setiap bulan dan masih lagi mampu menyimpan sedikit. Saya belajar susah senang berniaga lebih awal lagi.
Yang dikatakan manusia, kita semua tidak dapat lari dari masalah.
Hidup ini betul-betul ibarat roda. Kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah. Biasanya masa di bawah itu jauh lebih lama dari di atas. Beberapa tahun lepas, saya pernah mengalami keadaan kewangan yang teruk. Musim ‘kemarau’ yang teruk kerana jumlah pelanggan yang ada amat sedikit sehingga pendapatan yang diperolehi tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan yang paling asas.
Sekali lagi saya bernasib baik kerana mempunyai isteri yang memahami dan dia juga adalah rakan baik saya. Semua rahsia yang ada, berita baik dan berita yang kurang baik semuanya saya kongsikan dengannya. Mungkin saya lebih selesa bercerita dengannya. Apabila diluahkan segala apa yang ada dalam kepala saya ini, saya dapat berfikir dengan kreatif dan tenang. Jadi, pada masa itu, saya mengajak isteri saya ke kedai mamak berhampiran untuk bercerita dan berbincang.
Saya ingat lagi, ketika itu jam sudah pun pukul 2 pagi. Saya memang tidak boleh tidur memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Dan saya perlukan bantuannya. Selepas beberapa gelas besar teh tarik, isteri saya, Norazizah, memberikan satu idea yang sangat baik.
Katanya, “You fokus kepada mencari pelanggan baharu. Betulkan strategi harga dan apa lagi yang patut. I akan fokus kepada hal-hal rumah, kita susun balik perbelanjaan yang ada. I rasa kita boleh kurangkan lagi perbelanjaan kita agar lebih stabil. Jangan risau, walaupun kita kurangkan perbelanjaan yang ada, kualiti hidup kita masih sama.”
Walaupun tidak bekerja, Norazizah adalah seorang graduan jurusan pengurusan perniagaan dari salah sebuah universiti tempatan juga. Bagi saya, dia memang seorang yang bijak. Dan ini apa yang dia telah lakukan.
Pertama sekali, dia hentikan perkhidmatan Astro. Ketika melanggan Astro dahulu, ia disediakan sekali dengan 20Mbps broadband fiber dari Maxis. Bayaran untuk Astro sahaja mencecah RM250 sebulan. Dia gantikan dengan Time broadband fiber 100Mbps yang jauh lebih laju yang bayarannya cuma RM90. Murah pulak tu. Kemudian, dia langgan Netflix yang hanya berjumlah RM60 sebulan. Nak tengok filem apa, tengoklah sampai muntah. Hampir semuanya di Netflix. Cuma English Premier League sahaja yang tidak ada. Ah, tak kisahlah. Selain dari itu, kami juga tonton iFlix, Viu dan Rakuten Viki yang kesemuanya percuma. Harga langganan pun masih masuk akal. Kalau rasa internet kat rumah tu mahal, perlahan pulak tu, cuba Time broadband fiber yang confirm murah dan laju ini.
Perkakasan elektrik di rumah memang terlalu lama. Peti sejuk, mesin basuh sehinggalah kepada penghawa dingin kesemuanya sudah melebihi tujuh tahun. Ada yang lebih dari sepuluh tahun pun ada. Perkakasan elektrik yang lama rata-rata menggunakan aliran elektrik yang banyak. Jadi, kita tukarkan semuanya sedikit demi sedikit kepada yang baharu, yang mempunyai fungsi inverter. Terus, bil elektrik yang diperolehi turun daripada sekitar RM800 sebulan kepada hanya RM300 sahaja. Memang lega. Saya silap, ingatkan boleh berjimat cermat dengan mengekalkan perkakasan elektrik yang ada namun bayaran RM800 sebulan ke Tenaga Nasional memang luar biasa mahalnya. Tak kisahlah jenama apa, janji ada fungsi inverter.
Salah satu untungnya tinggal di Selangor ialah kita tidak pernah bayar bil air. Ia percuma selagi penggunaannya tidak melebihi kadar tertentu.
Sebelum ini, bayaran bil telefon mudah alih senang-senang mencecah RM400 sebulan. Memandangkan kontrak dengan syarikat telekomunikasi yang kami langgani ini tamat, kami terus bertukar kepada prabayar. Dari RM400, terus ia dikurangkan kepada RM60 sahaja sebulan.
Susah-susahpun kami tetap makan pizza juga. Cuma bukan selalu. Terima kasih kepada kupon-kupon yang disediakan oleh Dominos Pizza, walaupun mulut yang hendak makan pizza di rumah ada lima semuanya, dan setiap kali pesanan dibuat biasanya dua atau tiga pizza terpaksa dibeli kerana semuanya kaki makan, bayaran yang sepatutnya berjumlah lebih kurang RM100, dengan kupon yang ada kami cuma membayar RM35 sahaja. Tapi ini makan di rumah, bukan makan di kedai. Kami juga mengumpul apa juga kupon yang ada, terutamanya daripada Tesco, Supermarket Hero dan pasar raya yang menawarkan harga borong seperti Segi.
Kami mula jarang-jarang makan di kedai. Selalunya akan makan di rumah. Ia memang menjimatkan. Kalau sehari kita makan di kedai sekali contohnya, bayaran RM50 untuk makanan dan minuman sudah hampir pasti. Kalau sebulan, ia boleh mencecah RM1,500. Banyak tu. Di rumah, biasanya kami akan makan dua kali sahaja sehari, pukul 11 pagi dan juga pukul 5 atau 6 petang. Walaupun tidak makan tiga kali sehari seperti orang lain, kelainan ini tidak terasa sebenarnya. Ini kerana mengikut rutin baharu ini, lepas solat Isya’, kami akan terus masuk bilik. Tidur awal bagus juga sebenarnya agar tidak merasa lapar tengah-tengah malam buta.
Pengalaman susah sebegini penting, penting untuk saya belajar tentang hidup. Ia juga mengajar saya erti bersyukur walaupun ketika musim ‘buah’. Kalau ‘kemarau’ menjelma lagi nanti, saya sudah bersedia. Mungkin anda juga boleh belajar dari pengalaman ini. Kalau saya boleh berjimat lebih dari RM2,000 sebulan, anda juga mesti boleh.