Graphic Design atau rekabentuk grafik ialah sebuah proses yang menggunakan typography, illustrasi, warna dan bentuk yang digabungkan bagi bertujuan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dalam satu bentuk visual yang lebih mudah difahami. Ia bukan sekadar direka untuk dilihat cantik semata-mata tetapi setiap design yang dihasilkan itu mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri.
Malah, tanpa kita sedar, ia juga merupakan salah satu bentuk atau medium komunikasi di antara sesebuah entiti perniagaan dan audien sasaran. Poster media sosial, infografik, brochure, flyer, dan sebagainya adalah salah satu contoh medium komunikasi tersebut.
Maklumat-maklumat penting mengenai sesuatu produk atau sebaliknya disebarkan menggunakan salah satu daripada medium itu tadi dan dicetak untuk diberikan sebanyak yang mungkin kepada orang ramai. Beberapa elemen grafik ditambah dan isi kandungan disusun atur dengan baik dan penuh rapi agar informasi-informasi penting yang ingin disampaikan kepada audien sasaran dapat diterima dan difahami dengan baik.
Walaupun kini percetakan bukan lagi menjadi pilihan utama umum untuk menyebarkan informasi atau wadah memperkenalkan produk-produk baru kepada pengguna sasaran, pengaruh dan peranan Graphic Design masih kekal relevan dalam memainkan peranan penting di era dunia perniagaan digital semasa. Bahkan, fungsinya menjadi semakin luas.
Jadi, inilah sebab-sebabnya Graphic Design boleh tolong perniagaan anda pergi lebih jauh dan terus berkembang.
Bina Kepercayaan. Salah satu faktor sesebuah entiti perniagaan itu boleh pergi dengan lebih jauh adalah kepercayaan (trust) yang tinggi oleh pengguna kepada sesebuah jenama atau perniagaan. Tanpa kepercayaan, kesetiaan (loyalty) pelanggan tidak akan kekal lama, mungkin, sekadar datang dan pergi tanpa khabar berita. Kepercayaan itu terbina apabila sesebuah jenama itu mempunyai poster-poster marketing yang konsisten dan meyakinkan daripada segi penggunaan warna, susunan elemen grafik dan typography yang memberi mood berdasarkan ‘brand personality’ yang tersendiri.
Poster-poster ini juga tidak semestinya dimaksudkan dalam bentuk cetakan, tetapi untuk sebaran umum di platform media sosial rasmi perniagaan seperti FB dan IG. Peranan dan fungsi digital poster tersebut adalah tetap sama dengan yang tradisional; menyampaikan mesej dan bina kepercayaan (trust).
Sebagai contoh, bagaimana sebuah restoran Kentucky Fried Chicken dan Texas Chicken mampu bertahan dan bertapak lama menjalankan perniagaan di Malaysia dengan hanya bergantung pada jualan ayam goreng panas sebagai produk utama mereka walhal boleh saja kita beli ayam goreng Mak Cik Kiah ditepi jalan. Ayam goreng jer kot! Maka, disinilah peranan yang dimainkan oleh penjenamaan (branding) dan salah satu elemen yang membantu penjenamaan tersebut adalah design poster marketing yang konsisten dan mempunyai elemen visual yang tersendiri.
Poster-poster yang dihasilkan itu sama ada digital atau bercetak, ia direka bukan sekadar tangkap muat atau nak cantik dengan kerawang-kerawang bunga dan etc., tetapi setiap pemilihan warna dan jenis font serta kandungan yang ingin dimasukkan ke dalam poster di ambil kira dengan penuh teliti, teratur dan tersusun.
Berbeza dengan gerai ayam goreng Mak Cik Kiah, poster yang dibuat mungkin sebuah design yang agak klise dan biasa yang sering dimuat turun daripada Free Stock Market yang sedia ada di internet dan digantikan sahaja kandungan poster tersebut dengan menu jualan Mak Cik Kiah. Bahkan, warna yang digunakan juga tidak konsisten atau tidak menggambarkan sepenuhnya mengenai ‘brand personality’ gerai jualannya. Jadi, bila Mak Cik Kiah nak naik sedikit harga produk jualannya, cabaran yang bakal dihadapi adalah nak dapatkan pelanggan yang sanggup bayar RM10 untuk seketul ayam dan nasi seperti KFC.
‘Look and Feel’ itu penting dalam membina ‘trust’. Kalau tidak, mana mungkin Cadbury sanggup bayar beberapa juta ringgit untuk ‘rebranding’ perniagaan mereka. Boleh saja mereka guna Canva, tidak begitu?
‘First Impression.’ Bila kita nak run FB Ads, kita tidak boleh hanya bergantung kepada petikan ‘copywriting’ yang panjang berjela tanpa ada bantuan gambar atau grafik bagi menarik perhatian dua biji mata pembaca ketika mereka ‘scroll timeline’ Facebook atau Instagram mereka, betul bukan?
Kita perlukan satu imej grafik yang menjadi titik perhatian utama untuk seseorang berhenti baca mesej yang ingin disampaikan dalam ‘copywriting’ kita. Imej dibawah adalah contoh poster ‘Peraduan Syukur Raya’ yang dikongsikan pada page FB Richworks. Dengan bantuan poster tersebut, pembaca dapat tangkap dan faham mesej yang disampaikan dalam ‘copywriting’ kita.
Dalam bahasa mudah, graphic design dan marketing adalah saling memerlukan di antara satu sama lain. Kedua-dua instrumen ini penting untuk menjadikan perniagaan kita pergi lebih jauh. First impression yang baik dapat terbina apabila sesebuah perniagaan itu sanggup berbelanja lebih untuk rekabentuk grafik untuk tujuan pemasaran perniagaan/jenama. Jika tidak, jadilah seperti poster begini (rujuk gambar dibawah) dan barangkali perniagaan susah nak bertahan dengan lebih lama. Tiada ‘trust, maka tiada ‘loyalty’.
Kesimpulannya, tanpa bantuan grafik yang baik, susah untuk sesebuah perniagaan itu nak pergi lebih jauh dan mengembangkan sayap empayar perniagaannya. Hal ini kerana mesej yang disampaikan tidak dapat diterima dengan baik oleh pelanggan sasaran serta imej perniagaan yang kurang meyakinkan walaupun kita mempunyai produk atau servis yang sama taraf atau jauh lebih baik daripada produk tudung Vivy Yusoff atau telefon pintar iPhone.
Walaupun peranan grafik ini tidak sebesar atau setanding dengan instrumen pemasaran yang lain, tetapi peranan yang kecil ini juga mampu mempengaruhi sentimen dan keputusan bakal pembeli ke atas produk-produk atau servis yang ditawarkan oleh perniagaan kita.