Pada bulan Mac lalu, Adam Malek memberitahu pengurus restoran piza tempat beliau bekerja, yang dia tidak dapat hadir bekerja keesokan harinya kerana terpaksa ke sekolah untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebenarnya Adam hanyalah seorang pekerja sambilan di situ, bekerja untuk sedikit wang saku sementara menunggu keputusan SPM.
Ketika berada di sekolah pada keesokan harinya untuk mengambil keputusan SPMnya, tiba-tiba beliau mendapat panggilan dari pengurus restoran piza yang bekerja pada syif pagi. Adam dimarahi bertubi-tubi kerana tidak datang bekerja dan tidak memberitahunya terlebih dahulu. Sebaik sahaja habis dimarahi, Adam pun memberitahunya yang dia ada memberitahu pengurus syif petang pada hari sebelumnya tentang ketidakhadirannya itu. Tetapi mungkin pengurus syif petang itu terlupa untuk memberitahu pengurus di sebelah syif pagi tentang ketidakhadirannya.
Nasi telah menjadi bubur. Perkataan-perkataan yang digunakan ketika memaki-hamun tadi tidak boleh diterima oleh Adam. Ia terlalu pedih. Lalu Adam pun terus menuju ke restoran piza tadi dari sekolahnya untuk berjumpa dengan pengurus itu. Dia mahu berhenti kerja. Baginya maruah lebih penting dari wang.
Adam Malek merupakan seorang remaja yang sangat bijak dan berkebolehan. Dia boleh membina dan membaiki komputer sendiri. Dan minatnya tentang komputer sangat mendalam. Di samping minati perkakasan komputer, dia juga sebenarnya sangat minat berniaga. Pengalaman buruk dimaki-hamun tadi membuatkan minatnya berniaga lebih membuak-buak lagi.
Selang beberapa hari dari kejadian itu, dia datang meminta bantuan saya. Dia ingin belajar tentang strategi perniagaan atas talian, apa yang perlu dilakukan, apa yang tidak boleh dilakukan dan bagaimana hendak memasarkannya. Saya sangat teruja kerana ini kali pertama seorang remaja berumur 17 tahun yang sangat berfikiran jauh berani datang berjumpa saya untuk mengetahui tentang selok-belok perniagaan dan juga tentang pemasaran digital.
Proses pembelajaran kilat pun bermula. Pada penghujung bulan April lalu, ketika negara sedang mengalami masalah pandemik COVID-19, Adam Malek dengan selambanya mewujudkan satu kedai maya di platform e-dagang terkenal, Shopee. Dia tidak menyediakan khidmat membina atau membaiki komputer di sana kerana dia tahu ia sangat tidak produktif. Sebaliknya beliau menjual alat-alat ganti komputer terpakai dan juga yang baharu. Ketika seluruh negara bergelumang dengan masalah-masalah pekerjaan, masalah dibuang kerja, masalah tiada gaji bulanan dan lain-lain lagi, Adam dengan diam-diam mula menerima tempahan demi tempahan dari para pembeli walaupun baharu seminggu dua berniaga. Pada penghujung Mei, jumlah jualan Adam yang terkumpul ialah sebanyak RM5,200. Keuntungannya pula mencecah lebih RM2,000 sebulan.
Amaun yang kecil tetapi bagi saya, Adam sangat berjaya. Walaupun dia tiada sebarang pengalaman berniaga sebelum ini dan walaupun jumlah yang diperolehinya tidak begitu besar tetapi yang penting dia berjaya mewujudkan perniagaannya sendiri tanpa modal yang besar dan mempunyai keuntungan pula. Sebenarnya, perniagaannya ini jauh lebih baik daripada perniagaan-perniagaan besar yang lain di luar sana yang meraih pelaburan berjuta-juta ringgit, masuk televisyen dan suratkhabar sana-sini, mempunyai media sosial yang glamour tetapi hakikatnya mengalami kerugian tahun demi tahun.
Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan Adam sekali lagi. Saya tidak bertanya kepadanya berapa jualannya pada bulan Jun dan Julai, tetapi bertanya tentang apakah faktor penyumbang kepada kejayaan kecilnya?
Katanya, mungkin ini.
Pertama sekali, pemahaman konsep dan selok-belok perniagaan sangat penting. Kedua, pemilihan perniagaan yang dia minat, yang dia yakin mampu lakukannya. Ketiga, faktor jenis produk yang dijual pula perlu sering dicari oleh pengguna. Keempat, mungkin pemilihan vendor-vendor yang membekal produk perlu berkualiti juga. Kelima dan yang terakhir ialah sedikit peruntukan kewangan untuk membuat iklan di dalam platform e-dagang.
Seterusnya dia memilih platform e-dagang kerana dia tidak perlu memikirkan tentang kos pembuatan laman web, platform pembayaran, pemasaran digital yang pelbagai dan pencarian trafik. Saya pernah memberitahu Adam, kejayaan sesebuah perniagaan digital bukan terletak kepada pemasaran digital semata-mata tetapi termasuklah juga kualiti produk dan pengalaman manis yang diterima pelanggan. Di samping itu, usahawan baharu pasti akan membuat kesilapan demi kesilapan. Jadi proses kesabaran ketika membetulkan kesilapan juga sangat penting. Jika kesemua ini dilakukan dengan baik, hampir pasti kejayaan akan datang.