Saya ada terbaca satu artikel pemasaran tentang Adidas beberapa hari yang lalu. Ia ditulis oleh Seb Joseph yang diterbitkan oleh portal terkenal Digiday.
Ia berkisar tentang pemasaran digital menggunakan kaedah pengaruh individu mikro atau micro-influencer. Adidas sebagai sebuah jenama sukan terkenal dunia melihat kaedah ini sudah menjadi terlalu komersil dan setiap jenama menggunakan kaedah yang sama. Hasilnya, semua promosi dilihat seiras dan Adidas tidak mahu para pengguna mereka bosan sekiranya mereka juga turut menggunakan taktik yang sama.
Jadi mereka membuat sedikit kelainan.
Mengelak dari menggunakan kaedah biasa, Adidas sebaliknya membina komuniti individu-individu yang berpengaruh mereka sendiri. Kumpulan ini khusus untuk jenama Adidas sahaja, dan individu-individu ini tidak terbuka kepada jenama lain. Dan mereka ini terdiri daripada yang mempunyai pengikut yang terlalu besar, agak kecil dari biasa.
Empat tahun lalu, Ehsan Abassi adalah salah seorang dari 70,000 peserta yang menyertai beberapa acara bolasepak jalanan yang dianjurkan oleh Adidas. Tidak lama selepas itu, Ehsan diambil untuk menyertai kumpulan individu-individu berpengaruh di bawah jenama Adidas dan seterusnya diterima masuk ke Tango Squad FC, pasukan bolasepak di bawah Adidas yang semuanya terdiri dari individu-individu berpengaruh Adidas. Hari ini, dia dapat dilihat bersama-sama dengan Lionel Messi, Paul Pogba dan beberapa bintang bolasepak Adidas yang lain, dalam siri iklan-iklan Adidas di seluruh dunia.
Kehadiran individu berpengaruh mikro seperti Ehsan amat kritikal kepada kempen-kempen Adidas terutamanya bolasepak dalam strategi mereka mempengaruhi budaya membeli orang ramai.
Bagaimana cara Adidas menggunakan pengaruh mikro individu seperti Ehsan ini untuk kempen mereka? Tiga faktor penting
Pertama, kandungan yang sesuai. Tidak ada kandungan atau content yang sesuai selain video. Video akan menjadi lebih berimpak tinggi sekiranya ia disesuaikan dengan penulisan status yang kreatif. Contoh strategi video terkini mereka ialah Tango Squad FC Show.
Video mereka bermula dengan kehidupan seharian Ehsan dan para pemain Tango Squad FC yang lain sebagai orang kebanyakan dan pada masa yang sama menjalani kehidupan mereka sebagai seorang yang popular di kalangan pengikut mereka, sehinggalah terpilih menjadi influencer Adidas dan pemain Tango Squad FC. Malah setiap aksi permainan mereka untuk pasukan bolasepak Tango Squad FC juga dirakam dan dimasukkan bagi merancakkan Tango Squad FC Show mereka.
Kedua, perspektif kemanusiaan dan bukannya menjual. Di sini, Adidas bijak menggunakan mesej yang cuba disampaikan kerana perspektif video yang dibuat kerana ia bukan sahaja berkisar tentang permainan bolasepak semata-mata tetapi lebih kepada aspek kehidupan Ehsan dan rakan-rakan yang lain sebagai insan biasa yang gemar bermain bolasepak. Selang beberapa detik, mereka akan menyelitkan dengan cara tidak terlalu menonjol produk-produk Adidas selama beberapa saat untuk tatapan penonton sebagai pelengkap cerita.
Namun setiap pembikinan video, tidak kira sama ada ia berdurasi pendek atau panjang, selera penonton akan diambil kira bagaimana mereka ingin menonton setiap video yang disediakan itu dan ia akan dikaitkan pula dengan jenis saluran yang digunakan.
Ketiga, saluran rasmi. YouTube sebagai saluran rasmi Adidas digunakan secara maksimum bagi proses ‘mengedarkan’ semua video yang diterbitkan. Ia akan menjadi tontonan setiap pengikut media sosial Adidas dari seluruh dunia. Terbaharu, Adidas mula berjinak-jinak juga dengan IGTV dan buat masa ini ia dilakukan dengan berhati-hati. Bagi jenama sukan dunia ini, mereka masih lagi membuat ujian kerana masih belum serasi lagi luar dan dalam tentangnya.
Keempat, saluran media sosial individu berpengaruh mikro. Selain dari saluran media sosial rasmi Adidas, populariti individu berpengaruh mikro seperti Ehsan dan rakan-rakan sepasukannya dalam Tango Squad FC juga digunakan. Melalui saluran media sosial masing-masing, video-video ini akan turut mencapai rakan-rakan, jiran, keluarga dan para pengikut media sosial mereka yang lain.
Dari pembacaan artikel yang menarik ini, saya dapat membuat kesimpulan bahawa dalam kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap jenama yang ada di luar sana tentang penyediaan dan penyebaran kandungan sebagai salah satu taktik pemasaran, perlu diingat yang ia tidak semudah yang disangkakan.
Jenis kandungan yang ingin disediakan, mesej yang cuba disampaikan, perspektif yang bagaimana yang perlu digunakan dan saluran yang mana yang paling efektif untuk membuat penyebaran amat penting untuk dikenalpasti terlebih dahulu.