Lebih dari satu bilion pengguna menggunakan Google Maps untuk mendapatkan maklumat penting tentang cara untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain – terutamanya ketika waktu pandemik apabila soal keselamatan sering bermain di fikiran. Ciri-ciri seperti waktu popular dan kesibukan secara langsung, makluman COVID-19 dalam transit, dan pusat pemeriksaan COVID dalam navigasi pemanduan telah direka untuk membantu anda kekal selamat ketika berada di luar. Minggu ini, kami memperkenalkan lapisan COVID dalam Maps, sebuah alat yang memaparkan maklumat kritikal berkenaan kes-kes COVID-19 di sesebuah kawasan agar anda dapat membuat pilihan dengan lebih baik.
Bagaimana cara menggunakannya
Apabila anda membuka Google Maps, klik pada butang lapisan pada bahagian atas kanan skrin anda dan klik pada “COVID-19 info”. Anda kemudiannya akan melihat purata kes baru COVID sepanjang tujuh hari bagi setiap 100,00 orang yang berada dalam map yang sedang anda lihat, dan sebuah label yang menyatakan sama ada kes-kes tersebut semakin meningkat atau menurun. Kod warna turut membantu anda membezakan ketumpatan kes di sesebuah kawasan. Data kes tersohor boleh didapati pada tahap negara bagi kesemua 220 negara dan kawasan yang disokong Google Maps, termasuk negeri dan wilayah, serta data peringkat bandar apabila ia boleh didapati.
Klik pada butang lapisan untuk melihat data COVID, dan pilih ‘COVID-19 Info’ di bawah menu lapisan.
Bagaimana data diperolehi
Data yang dipaparkan pada lapisan COVID datang dari pelbagai sumber berwibawa, seperti Johns Hopkins, New York Times, dan Wikipedia. Sumber-sumber tersebut memperolehi data dari organisasi-organisasi kesihatan awam seperti World Health Organization, kementerian kesihatan kerajaan, serta agensi kesihatan dan hospital negeri dan tempatan. Kebanyakan dari sumber-sumber tersebut telah pun menyumbang kepada maklumat kes COVID di Search, dan kini kami mengembangkan data tersebut ke Google Maps.
Walaupun ia semakin susah untuk bergerak sejak akhir-akhir ini, kami berharap agar ciri-ciri Google Maps tersebut dapat membantu anda pergi ke mana anda perlu secara selamat dan cekap. Lapisan COVID akan boleh mula didapati di seluruh dunia pada Android dan iOS minggu ini.