Cuba anda perhatikan betul-betul, berapa lama setiap pengunjung berada dalam laman web anda secara purata sebelum mereka keluar meninggalkannya untuk ke tempat lain? Sekiranya mereka cuma ‘hinggap’ seketika sahaja dan kemudiannya beredar, ini bermakna laman web anda terlalu bosan dan tidak relevan dengan mereka. Bukan itu sahaja, anda juga berkemungkinan turut rugi kerana para pengunjung tadi mungkin berminat untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.
Laman web boleh diibaratkan sebagai kedai anda. Bayangkan anda sering mengadakan pelbagai promosi hebat di hadapan kedai anda dan juga di tempat lain untuk menggalakan orang ramai yang lalu lalang untuk masuk ke kedai anda dan melihat dengan lebih lanjut semua jenis produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan di sana. Siang dan malam, begitu hebat sekali kempen yang anda lakukan. Memandangkan anda begitu agresif sekali, maka ramai pengunjung yang datang masuk.
Anda pelik, yang masuk ramai tetapi yang membelinya begitu sedikit sekali. Persoalannya mengapa? Jawapannya mudah, kerana mereka tidak berada cukup lama di dalam kedai anda yang boleh membuatkan mereka untuk membuat keputusan untuk membeli, sekurang-kurangnya membuatkan mereka berminat untuk datang kembali dan seterusnya membeli ataupun bercerita pada kawan-kawan mereka tentang kedai anda untuk mereka datang membeli.
Laman web anda juga mempunyai konsep yang hampir sama. Mereka datang tetapi keluar setelah beberapa saat berada di dalamnya. Apabila mereka keluar terlalu awal, adalah mustahil untuk mereka membeli dari anda.
Mungkin ini penyebab utama mengapa para beredar terlalu cepat.
Reka bentuk yang mengingatkan pengunjung kepada laman web kerajaan. Ini masalah yang paing besar. Apabila mereka sampai sahaja di muka hadapan laman web anda, mereka terus berkata “ini laman web kerajaan ke?” Cuba anda lihat laman web yang dimiliki oleh kebanyakan jenama-jenama terkenal dunia, lihat bagaimana mereka melakukannya. Kemudian bandingkan dengan laman web anda.
Terlalu banyak tulisan. Kini tidak ramai yang gemar membaca. Mereka lebih gemar kepada visual seperti video, gambar dan juga infografik. Mungkin tulisan anda yang berjela-jela panjangnya membuatkan orang berasa sesak nafas untuk berada lebih lama lagi dalam laman web anda, jadi mereka pun terus beredar.
Borang. Sekiranya tiada borang untuk bertanya atau boleh berinteraksi secara langsung, mereka akan tidak teragak-agak untuk tidak bertanya. Dan apabila mereka tidak bertanya, anda akan rugi kerana mungkin mereka berminat dan bersedia untuk membeli. Jadi pastikan anda mempunyai borang dalam talian atau sekurang-kurangnya mempunyai pautan ke media sosial anda bagi membolehkan interaksi dilakukan di sana.
Gambar percuma yang diambil dari internet dan Google. Lagi satu kesalahan besar laman web ialah menggunakan gambar-gambar percuma yang diambil dari internet dan Google. Para pengunjung laman web anda sudah masak dan pernah sama sekali melihat gambar-gambar yang sama di tempat lain terlebih dahulu. Ini membosankan, kata mereka. Selain dari ini, kebanyakan gambar-gambar percuma ini berlatarbelakangkan individu dan suasana dari benua barat. Anda pula berada di Malaysia, jadi keadaan ini memberikan persepsi yang anda adalah satu jenama yang ‘murah’. Sebaiknya, guna gambar sendiri dan pastikan ia mempunyai resolusi tinggi.
Ejaan dan tatabahasa yang salah. Ini juga satu perkara yang amat sensitif. Apabila mereka melihat terlalu banyak kesalahan pada ejaan dan tatabahasa yang digunakan dalam penulisan anda di laman web, mereka terus sedar yang sebenarnya anda adalah sebuah jenama yang amatur dan kecil. Ini bakal mendatangkan risiko kepada mereka sekiranya mereka membuat apa-apa urusniaga dengan anda.
Bahasa yang digunakan. Ini juga penting. Bahasa yang sepatutnya digunakan untuk laman web anda perlu selari dengan komuniti yang anda sasarkan. Kalau mereka terdiri dari komuniti yang sering menggunakan bahasa kebangsaan, jadi anda perlu menulis dalam bahasa kebangsaan. Sekiranya mereka dari golongan yang berbahasa Inggeris ataupun sasaran pasaran anda berada di luar negara, anda perlu menulis dalam bahasa Inggeris. Ada pula jenama yang mempunyai komuniti yang majmuk, dari pelbagai latar belakang bahasa, jadi anda tidak dapat lari dari menulis dalam dua bahasa iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.