Pemasaran sebenarnya hanyalah satu strategi dan aktiviti untuk anda war-warkan jenama anda dan produk atau perkhidmatan yang disediakan. Ia dijalankan dengan kaedah tradisional dan digital dengan harapan agar dapat menarik perhatian para pengguna di luar sana untuk datang membeli. Itu sahaja.
Yang peliknya kebanyakan jenama terutamanya yang bersaiz kecil terlalu taksub dengan pelbagai kaedah pemasaran dengan mengambil kesempatan ke atas semua jenis media sosial untuk mendapatkan pengikut yang ramai, menyediakan pelbagai bentuk kandungan, membayar individu-individu popular untuk tularkan produk mereka demi mendapatkan trafik yang tinggi ke laman web dan media sosial. Itu belum lagi mengambil kira pembayaran iklan di Facebook, Instagram dan sebagainya. Belum apa-apa lagi, pemasaran jalan dahulu.
Trafik yang besar dari seluruh pelosok negara akan terus datang kepada mereka untuk melihat apa yang dijual. Beribu-ribu pengunjung datang setiap hari menyerbu kedai-kedai ‘maya’ jenama-jenama ini. Mereka seterusnya menerima pesanan dan jualan yang tinggi. Pemilik jenama berasa amat gembira. Tetapi sayang, ia tidak bertahan lama. Pembeli yang sama tidak akan datang lagi selepas itu.
Mengapa?
Ini jawapannya. Sebagai pemilik jenama kecil, anda sebenarnya langsung tidak bersedia untuk menerima pengunjung pada tahap awal-awal begini. Jawapan yang pelik tetapi benar. Ini penjelasan saya mengapa mereka tidak bersedia sama sekali untuk pemasaran pada ketika ini.
Produk atau perkhidmatan yang ala-ala. Senario-senario ini sering berlaku. Anda baharu pandai sedikit dengan Facebook, terus ingin menjual perkhidmatan anda sebagai seorang pakar pemasaran digital yang tahu semuanya. Baharu seorang-dua kawan komen spageti carbonara yang anda buat sedap sedikit, terus anda membuka tempahan secara besar-besaran. Baharu sahaja jiran anda komen jahitan anda kemas dan cantik, terus anda membuka Instagram untuk menerima tempahan baju hari raya. Apabila para pengguna sedar tentang kewujudan anda dan datang meluru untuk membuat pesanan, mula-mula anda akan suka. Anda terus cergas bekerja memastikan setiap pesanan disempurnakan dengan baik dan cepat. Namun apabila kepakaran, pengalaman dan pengetahuan anda cetek, anda tidak akan terdaya menghabiskan kerja yang ada dengan efektif.
Apa yang anda lakukan selepas itu? Anda akan mencari orang lain yang boleh membantu dan ini perlu dibayar. Bayaran anda murah kerana ingin menjaga kos agar tidak melebihi harga yang dijual. Apabila kos murah, kualiti produk juga akan turut rendah. Dalam promosi, semuanya nampak bagus tetapi realitinya jauh berbeza. Para pelanggan tadi akan menerima produk tadi dengan hati yang bercampur-campur. Akhirnya mereka tidak akan datang lagi.
Proses di belakang yang kelam-kabut. Biasanya anda tidak sempat untuk berfikir dan menyediakan proses yang sistematik, teratur dan tanggungjawab tertentu yang perlu dipikul oleh setiap ahli pasukan anda. Mengapa? Kerana bagi anda yang penting ialah pesanan dari pelanggan perlu ada terlebih dahulu. Apabila pesanan masuk, yang lain boleh difikirkan kemudian.
Strategi begini salah dan bakal mengundang masalah. Sekiranya ada masalah, contohnya, siapakah yang akan menjawab kepada pelanggan anda? Apakah yang anda lakukan apabila seorang pengguna bersetuju untuk membeli produk anda? Adakah anda mempunyai format untuk sebutharga, invois dan dokumen-dokumen lain bagi memastikan semua transaksi mempunyai dokumentasi yang cukup? Siapakah yang akan memastikan semua produk yang dipesan dapat disediakan dengan baik dan tepat mengikut pesanan yang diterima? Adakah anda menggunakan akaun bank atas nama anda atau syarikat? Bagaimanakah anda akan memastikan pelanggan menerima pesanan yang dibuat? Terdapat banyak lagi persoalan yang perlu dijawab yang berkisar tentang proses dalaman syarikat anda sendiri.
Pengalaman pengguna yang tidak konsisten ketika berurusan dengan anda. Melalui jawapan yang anda berikan kepada pelanggan dan mungkin interaksi di e-mel atau pesanan ringkas di WhatsApp yang tidak dijawab dengan pantas akan menjejaskan pengalaman mereka ketika berurusan dengan anda. Pesanan yang meluru masuk kesemuanya memerlukan perhatian segera anda tetapi anda tidak sedar yang anda mempunyai sepasang tangan sahaja. Di sini, jelas pelanggan tidak akan gembira dengan layanan yang diterima.
Berdasarkan faktor-faktor ini, pemasaran tidak boleh diutamakan lagi. Selesaikan isu-isu ini terdahulu dengan terperinci dan sistematik, baharu fikirkan tentang pemasaran.