Sama ada anda perasan ataupun tidak, terdapat pelbagai jenis pemasaran di luar sana. Ada Pemasaran Digital, Pemasaran Media Sosial, Pemasaran Facebook, Pemasaran Kandungan, Pemasaran SEO, Penjenamaan dan beberapa nama lain lagi. Tahukah anda setiap dari ini memerlukan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang berbeza? Sekiranya anda masih kabur tentang ini, mungkin ini masa yang sesuai untuk anda belajar dengan cepat kerana tanpa pengetahuan sebegini, anda mungkin akan ketinggalan jauh berbanding para pesaing anda dalam industri yang sama.
Dahulu pemasaran hanya terikat dengan kaedah tradisional sahaja. Apabila kita terdengar sahaja pemasaran dahulu, kita akan terbayang seorang yang berpakaian kemas dengan beg yang berisi katalog. Ataupun papan tanda di tepi-tepi jalan, poster yang diletakkan di kedai-kedai dan juga iklan-iklan di media massa. Paling dahsyat sekali ialah apabila anda mendapat panggilan-panggilan telefon yang tidak diingini tentang produk-produk kewangan.
Pengalaman pengguna pada masa lalu juga sangat menyedihkan. Bukan sahaja kita akan sakit hati dan rasa menyampah mendapat panggilan-penggilan untuk membeli insurans dan unit amanah, kes-kes penipuan terhadap para pengguna juga sering terjadi setelah produk atau perkhidmatan itu dibeli. Mereka tidak tahu tentang betapa teruknya produk dari sesuatu jenama itu. Mereka yang tertipu pula tidak dapat memberikan amaran lebih awal kepada pengguna yang ingin membeli kerana tiadanya platform seperti internet yang dapat menghubungkan semua orang dalam masa yang singkat dan secara langsung. Apa yang mereka boleh lakukan hanyalah memberitahu kepada individu-individu yang rapat sahaja tentang betapa teruknya jenama itu.
Zaman internet yang serba canggih ini banyak membantu sebenarnya. Dengan adanya internet, fungsi pemasaran kini sama sekali berubah. Pemasaran pada era ini, kebanyakan perhatian tertumpu kepada peranti-peranti mudah alih dan komputer. Di sini, peranan para pemasar juga berubah mengikut peredaran selera mata pengguna. Ia seolah-olah membuka pemasaran kepada platform pelbagai dimensi. Dan dengan adanya Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram, Pinterest, YouTube, Snapchat dan lain-lain, menjadikan keadaan semakin keliru kepada para pemasar – platform yang mana satu yang harus mereka gunakan?
Bukan sahaja pemasar, jenama itu sendiri juga tahu di mana platform yang sesuai untuk jenama mereka berada.
Bagi menjawab persoalan ini, jenama tersebut perlu terlebih dahulu tahu siapakah sasaran pelanggan mereka dan bagaimana tingkahlaku mereka di internet. Jenama tersebut harus juga kenalpasti beberapa faktor penting lain seperti bagaimana sesuatu kepercayaan para pengguna dapat diraih, apakah yang membuatkan mereka membeli, bagaimana mereka membuat pilihan dengan siapa mereka akan membeli dan yang paling utama sekali ialah adakah mereka akan menggunakan perbelanjaan sendiri ataupun syarikat.
Jawapan kepada soalan-soalan ini sangat penting bagi menentukan bukan sahaja strategi pemasaran anda, tetapi juga keseluruhan model perniagaan anda sama ada ia mampu untuk pergi jauh dan berjaya, sekadar mampu bertahan sahaja ataupun perniagaan anda ini tidak akan bertahan lama. Dengan kata lain, pada era ini ia bukan semata-mata hanya untuk memasarkan produk dan perkhidmatan sahaja. Ia sebenarnya lebih mendalam dari itu.
Maksudnya?
Begini. Pada peringkat awal, para pengguna ingin faham terlebih dahulu tentang tiga perkara penting.
- Apakah perniagaan anda?
- Apakah bezanya anda dan kelebihan yang ada kalau dibandingkan dengan jenama produk atau perkhidmatan yang mereka sedang gunakan hari ini?
- Adakah anda mampu membantu mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik sama ada dari aspek peribadi, profesional ataupun kedua-duanya.
Apabila wujud kefahaman tadi, mereka akan membuat beberapa ‘kajian’ ringkas sama ada melalui Google ataupun media sosial, dan mereka juga akan membuat beberapa pengesahan dari rakan, jiran, saudara dan sebagainya tentang mengapa anda perlu memilih dan menggunakan produk anda dan berhenti menggunakan produk dari jenama yang ada sekarang.
Para pengguna tidak lagi seperti dahulu. Kini, maklumat hanya di hujung jari sahaja. Mereka tidak hanya memandang permainan pemasaran anda sahaja, tetapi lebih dari itu.Jadi strategi pemasaran yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Kepakaran anda yang hebat di Facebook sahaja tidak akan mencukupi sekiranya produk anda masih tidak berkualiti, proses dalaman syarikat anda masih lagi kelam-kabut dan para pekerja anda masih lagi angkuh dengan pelanggan.