Kita tidak sedar yang kita semua kini berada dalam era yang dikenali sebagai pemasaran yang dibenarkan atau permission marketing. Menurut Wikipedia, konsep ini pertama kali diperkenalkan oleh seorang pemasar terkenal dunia Seth Godin pada tahun 1999.
Seth berpendapat, cara pemasaran yang dilakukan oleh kebanyakan jenama yang ada pada masa ini lebih tertumpu kepada terlalu ingin mendapatkan perhatian dari para pengguna. Tidak kira sama ada ia melalui iklan di televisyen yang sering menganggu pengguna, iklan di radio yang turut menggunakan konsep yang sama, menelefon orang lain secara telemarketing, penghantaran e-mel yang tidak diminta dan juga iklan-iklan yang sering keluar di sana-sini ketika kita melayari sesuatu laman web di internet, kesemua ini sangat menjengkelkan dan dibenci oleh kita semua.
Kaedah ini kini semakin kurang efektif terutamanya pada era ini. Mengapa?
Pertama, pada era ini perhatian kita dipenuhi dengan beribu-ribu iklan setiap hari. Walau di mana kita berada hampir pasti akan ada iklan di sekeliling yang inginkan perhatian kita, sehinggakan kita sendiri tidak mengendahkannya. Kedua, kerana ia amat menganggu. Dan ketiga, cara sebegini seolah-olah memaksa kita membuat keputusan segera.
Seth Godin membuat beberapa kajian dan pemerhatian pada tahun 1999 dan mendapati bahawa kempen-kempen pemasaran yang berjaya hampir kesemuanya berpunca dari kebenaran yang diberikan oleh para pengguna terhadap kempen-kempen tersebut. Kebenaran di sini bermaksud para pengguna bersedia untuk menikmati, melihat, menonton dan membaca apa yang disajikan kepada mereka. Berdasarkan penemuan pelik ini, Seth berpendapat strategi pemasaran harus mempunyai beberapa kriteria dibawah:
- Jangkaan pengguna. Para pengguna akan menjangkakan sesuatu maklumat itu akan sampai kepada mereka.
- Peribadi. Maklumat yang diberikan kepada para pengguna lebih berbentuk peribadi atau personalise khusus kepada individu atau syarikat tersebut.
- Sesuai. Maklumat yang disediakan pula haruslah sesuai dengan kehendak pengguna.
Dengan kata lain yang lebih mudah, pemasaran yang dibenarkan atau permission marketing ialah strategi pemasaran yang dirangka agar setiap maklumat yang ingin disampaikan itu akan sampai dan diterima dengan baik oleh para pengguna yang disasarkan.
Lebihkan kepada mengajak, dan tidak lebih dari itu.
Bagaimana anda boleh mengajak mereka untuk melanggan secara sukarela terhadap newsletter dari majalah di internet, contohnya, mengajak mereka untuk mengikuti akaun media sosial anda dengan sukarela, mengajak mereka untuk mengikuti saluran YouTube anda dan juga mengajak mereka untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda sediakan?
Mudah sahaja. Kurangkan iklan, tetapi lebihkan kepada berkongsi maklumat-maklumat yang sasaran pengguna anda gemar untuk membaca, melihat dan menonton. Sedikit demi sedikit perkenalkan produk atau perkhidmatan anda kepada mereka secara tidak keterlaluan.