Setiap kali anda terpandang Starbucks dan McDonalds tidak kira sama ada ketika memandu ataupun berjalan-jalan di kompleks membeli-belah, hari-hari ia sentiasa penuh dengan orang. Kalau di bahagian pandu-lalu pula, berderet kereta beratur menunggu giliran masing-masing untuk membeli secara bungkus untuk dibawa pulang. Panjangnya bukan main gila lagi, sampai 1 km pun ada. IKEA pun sama, gedung mereka hari-hari penuh dengan orang. Tidak kira sama ada ia hari biasa ataupun hujung minggu. Sama sahaja.
Kalaulah kita ada bisnes yang macam ini, kan bagus. Tak payah pening-pening fikirkan macam mana nak tarik orang untuk datang menjenguk dan membeli di kedai kita. Hanya perlu tunggu di kaunter sahaja. Mana tidaknya, semua orang beratur untuk hulurkan anda duit. Hari-hari pula tu.
Apakah formula bagi mewujudkan satu bisnes yang betul-betul berjaya?
Kalau anda tanya kepada sepuluh orang, anda akan memperolehi sepuluh jenis jawapan. Kalau anda tanya kepada seratus orang, saya berani jamin yang anda akan dapat seratus jawapan yang berbeza. Malah, anda pasti akur yang sebenarnya tiada satu jawapan spesifik bagi soalan ini.
Sebenarnya, formulanya ada. Kalau anda ingin tahu, ada satu formula universal untuk berjaya. Tidak kira sama ada anda ingin berjaya dalam hidup, dalam pekerjaan, dalam bisnes atau pun bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk bisnes juga, anda boleh gunakan formula ini.
Grit.
Perkataan ini adalah dalam Bahasa Inggeris. Terjemahannya dalam Bahasa Melayu ialah Tidak Berputus Asa. Ia bermaksud anda perlu terus mencuba dan terus mencuba untuk berjaya. Ia bermaksud anda berani untuk meneruskan usaha bagi mencapai impian anda. Ia bermaksud anda tidak takut untuk bangkit dari kegagalan demi kegagalan bagi mengejar impian anda.
Angela Duckworth, seorang penulis, profesor dan pakar psikologi dari Universiti Pennsylvania di Amerika Syarikat, pada tahun 2013 beliau telah menyatakan melalui TED Talk yang dia bersama pasukannya telah menjalankan satu kajian yang amat mendalam beberapa tahun sebelumnya tentang grit. Angela memberikan definisinya seperti berikut:
Grit is passion and sustained persistence applied toward long-term achievement, with no particular concern for reward or recognition along the way. It combines resilience, ambition and self-control in pursuit of goals that take months, years or even decades.
Angela mula membuat kajian tentang grit pada waktu beliau mengajar matematik kepada murid-murid di sekolah. Beliau mendapati IQ dan kekayaan sebenarnya bukan satu-satunya faktor penyebab kepada kejayaan seseorang murid, yang membezakan murid yang berjaya dengan yang gagal. Grit, atau sifat yang tidak berputus asa, sebenarnya merupakan faktor utama penyebabnya yang sebenar kepada satu-satu kejayaan itu. Angela menghabiskan masa selama bertahun-tahun membuat kajian ini kepada kesan jangka masa pendek dan panjang terhadap prestasi individu, syarikat, prestasi di sekolah, prestasi di tempat kerja dan juga hubungan peribadi.
Kajian bertajuk Grit: The Power of Passion and Perseverance beliau kemudiannya telah diterbitkan dan menjadi bestseller di The New York Times. Sekiranya anda melihat kepada jenama-jenama Starbucks, McDonalds dan IKEA tadi, mereka telah berada di pasaran melebihi 20 tahun. Dan ini adalah contoh dan jawapan yang baik kepada kajian Prof Angela Duckworth yang saya ceritakan tadi.
Jadi apakah bisnes yang terbaik yang boleh anda lakukan yang berpotensi tinggi pada tahun 2020?
Pertama sekali anda perlu faham yang kejayaan sebenarnya hanya akan datang dalam masa yang agak lama. Mungkin 20 tahun, mungkin 30 tahun, mungkin sembilan tahun, mungkin juga dua tahun ataupun mungkin juga enam bulan. Yang penting anda tidak boleh terburu-buru mengejar dan hindarkan dari cuba untuk mempercepatkan proses kejayaan tersebut.
Sebelum memulakan apa jua bisnes, anda perlu membuat sedikit kerja rumah, iaitu pemerhatian dari jauh di sekeliling anda. Lihat semua bentuk bisnes yang ada di luar sana tidak kira sama ada besar atau kecil, bermodal besar atau kecil, mempunyai pasaran B2B atau B2C, mempunyai kedai fizikal atau online, yang dijalankan oleh syarikat ataupun individu dan buatkan sedikit nota. Senaraikan kriteria mengapa mereka berjaya dan apakah faktor-faktor penyebabnya. Di samping pemerhatian, anda juga perlu membuat sedikit penyelidikan melalui bacaan bagi memperolehi sedikit maklumat tentang kriteria-kriteria yang anda kumpul tadi. Melalui data-data mudah ini, ia akan menguatkan lagi asas kepada bisnes yang akan anda mulakan nanti.
Berdasarkan kepada kebolehan, kepakaran, minat dan pengalaman anda, senarai pendekkan bisnes yang anda rasa yang mampu pergi jauh, yang mampu merentasi banyak negara, yang mampu dijadikan pendapatan tetap, yang tidak memerlukan modal yang tinggi pada peringkat permulaannya dan mampu menarik pelabur pada masa akan datang. Bisnes ini juga perlu mempunyai produk atau perkhidmatan yang mampu menyelesaikan masalah orang lain, mampu menyenangkan hidup orang lain ataupun yang mampu memberikan pendapatan lebih kepada orang lain.
Pilih satu bisnes yang paling dekat dengan hati anda yang mempunyai ciri-ciri tadi. Setelah proses pemilihan tadi selesai, anda perlu sediakan dokumen tentang proses operasi standard atau standard operating procedure secara mendalam dari peringkat pengguna mula membuat pesanan sehinggalah cara anda membuat penghantaran dan pembayaran. Ini sangat membantu sekiranya anda mula mempunyai pekerja yang ramai kelak.
Selain dokumen berkaitan SOP, anda juga perlu menyediakan format dokumen seperti sebutharga, invois, resit dan lain-lain lagi. Perhatikan bagaimana adik di kaunter McDonalds mengambil pesanan anda sehinggalah kepada proses mereka meletakkan setiap item yang anda pesan di dulang. Semua proses itu adalah sama tidak kira di mana McDonalds yang anda pergi di seluruh negara. Begitu juga keadaannya di Starbucks dan IKEA. Proses yang sistematik, mudah difahami dan dipraktikkan adalah sangat penting.
Bisnes yang berjaya biasanya mempunyai produk, perkhidmatan dan kombinasi kedua-duanya yang bermutu tinggi. Jadi, anda perlu pastikan terlebih dahulu yang produk anda mempunyai kualiti yang baik agar ia akan ia akan menjadi sebutan orang. Senaraikan faktor-faktor yang dapat membuatkan kualiti produk dan perkhidmatan anda mampu kekal bagus dalam jangkamasa panjang.
Pendaftaran bisnes anda juga penting. Ia perlu dilakukan secara formal agar anda boleh membuka akaun bank di atas nama bisnes anda dan bukannya gunakan nama anda secara individu. Penggunaan akaun bank melalui nama individu sangat tidak sesuai dan boleh menggugat kepercayaan pengguna tentang kredibiliti jenama bisnes anda.
Apabila semuanya telah siap sedia, kini tiba masanya untuk anda ceritakan pada orang lain tentang bisnes baharu anda ini. Cuba anda tonton filem Chef ini. Moral dari cerita ini sangat menarik dan boleh digunakan oleh anda bagaimana cara terbaik untuk membuka mulut kepada orang lain.
Betul, semuanya kini tertumpu kepada media sosial dan internet. Anda perlu belajar bagaimana menggunakannya untuk bisnes anda se-efektif mungkin. Dapatkan bantuan sama ada dari segi latihan sekiranya anda ingin menjalankannya sendiri ataupun bayar kepada orang lain yang anda kenal untuk menjalankan aktiviti media sosial dan internet anda sekiranya tiada masa. Mengapa media sosial dan internet? Kerana kedua-dua medium ini adalah yang termurah berbanding yang lain. Malah, kadar bayaran untuk seseorang itu menjalankan operasi internet dan media sosial juga sangat murah. NSE, salah satu jenama media sosial yang berpusat di Malaysia hanya mengenakan bayaran sebanyak MYR500 sahaja sebulan. Dan ia boleh lagi dikurangkan kepada MYR350 ataupun MYR200 sebulan mengikut kesesuaian bajet anda,
Hampir kesemua bisnes yang berjaya di luar sana tidak menggunakan acuan yang sama ketika mereka mula-mula menjalankan operasi dahulu. Kesemua mereka sedikit demi sedikit mengubah strategi mereka mengikut kesesuaian masa dan kehendak pasaran. Cuba anda lihat logo pertama mereka dan logo mereka pada masa kini, sangat berbeza betul? Kalau logo pun boleh berubah, inikan pula strategi. Lagilah. Jadi, jangan terlalu mengikut ego dengan cuba untuk mengekalkan strategi yang lama. Kehendak dan keperluan pengguna akan berubah dari masa ke semasa, dan anda perlu mengubah strategi yang ada mengikut trend ini secara berhati-hati.
Bisnes yang berpotensi tinggi pada tahun 2020 sebenarnya ada banyak. Kita tidak perlu meniru orang lain yang mungkin nampak berjaya tetapi sebenarnya tidak. Kita tidak perlu mendengar cakap orang lain yang cuba meyakinkan kita tentang sesuatu bisnes yang kita sendiri tidak pasti logiknya. Kita cuma perlukan sedikit masa untuk melakukan kerja rumah dan faham tentang bisnes yang kita hendak lakukan itu secara mendalam terlebih dahulu. Guna kaedah-kaedah yang saya kongsikan tadi. Seterusnya, lakukan yang terbaik dalam mengejar impian anda dan jangan berhenti.