Ramai yang melihat tahun 2021 yang akan datang ini sangat penting. Ramai juga melihat tahun 2021 sebagai tahun kebangkitan. Terlalu ramai rakan-rakan saya yang terpaksa mengikat perut pada tahun ini. Bukan mereka sahaja, saya pun sama. Ada yang mengikat perut dengan kuat, sederhana kuat dan juga longgar. Malah ada juga beberapa orang yang saya kenal tidak mengikat perut mereka langsung. Maklumlah, bisnes mereka semakin bagus ketika di waktu pandemik ini. Kebanyakan dari mereka kini sedang rancak membuat perancangan demi kelangsungan bisnes dan juga kehidupan peribadi masing-masing.
Dalam banyak-banyak kawan, ada tiga orang tiba-tiba menghubungi saya setelah sekian lama. Mereka bertanya, adakah mempunyai laman web perlu dimasukkan sebagai salah satu benda yang wajib ada dalam perancangan bisnes untuk tahun 2021 ini? Kalau pertanyaan ini diiringi dengan secawan kopi kan lebih bagus, tetapi tidak mengapa. Buat masa ini guna WhatsApp pun bolehlah.
Ada pendapat mengatakan yang mempunyai laman web sangat penting demi kelangsungan perniagaan anda. Tetapi ada pula yang berpendapat ia tidak penting kerana dengan media sosial sahaja pun sudah mencukupi.
Jadi yang mana satu yang betul? Mungkin ini dapat membantu anda membuat pilihan
Pertama sekali kita perlu melihat situasi yang bagaimana yang memerlukan laman web. Laman web sangat diperlukan sekiranya anda ingin dijumpai di enjin pencarian seperti Google dan Bing. Dan, benda yang biasanya akan dijumpai ialah penulisan blog yang diletakkan di dalam laman web anda. Penulisan blog yang berkaitan dengan topik-topik tertentu yang ditulis khusus berkaitan dengan industri, minat dan kebolehan anda ini boleh dijumpai dan dicapai apabila ia mempunyai kedudukan ranking yang tinggi. Kedudukan ranking yang tinggi pula biasanya diberikan kepada artikel atau kandungan yang berkualiti yang digemari oleh pembaca. Pemilik laman web yang mempunyai kandungan yang menarik ingin menarik lebih ramai pembaca untuk datang dan membaca penulisannya di laman web tersebut, dengan harapan para pembaca tadi berminat untuk membeli produk atau perkhidmatan yang disediakan.
Laman web juga sangat diperlukan jika anda ingin bisnes ataupun diri anda dilihat mempunyai kredibiliti yang tinggi di mata pengguna. Sesuatu individu dan jenama itu akan dilihat lebih berwibawa sekiranya ia memiliki domain dan laman web sendiri berbanding dengan orang lain atau jenama lain yang tidak mempunyai kedua-duanya. Jika digabungkan dengan pemilikan domain dan laman web beserta dengan penulisan yang bernas, kredibiliti akan menjadi lebih terserlah. Tujuannya juga sama, untuk mendapatkan pembeli. Atau sekurang-kurangnya menceritakan kepada rakan-rakan mereka tentang kebaikan laman web tadi ataupun produk yang dilihatnya pada laman web tersebut.
Ini merupakan dua faktor penting mengapa seseorang itu atau sesuatu jenama itu perlu mempunyai laman web. Namun, harganya yang agak mahal menjadi faktor penghalang untuk memilikinya.
Tidak mempunyai laman web sendiri, tidak bermakna anda tidak mempunyai kredibiliti langsung. Kita kini berada di ambang tahun 2021, terdapat beberapa laman web dan aplikasi internet di luar sana yang mampu membuatkan kredibiliti seseorang atau sesuatu jenama itu tinggi tanpa mempunyai domain dan laman web sendiri.
Anda seorang yang mempunyai pendapat yang bernas, idea yang baik dan juga penulisan yang berkualiti tinggi. Tanpa mempunyai laman web pun, anda boleh menulis pada platform-platform yang sedia ada seperti LinkedIn, Marketing In Asia dan Medium. Apa yang anda perlu lakukan ialah bina beberapa pautan di dalam kata-kata kunci tertentu di dalam artikel anda untuk menarik kembali pembaca untuk datang ke media sosial rasmi anda.
Sekiranya anda seorang peniaga mikro, anda tidak memerlukan laman web. Saiz yang dikatakan mikro ini ialah ia lebih kecil daripada kecil, seperti bisnes secara separuh masa, secara solo, sekadar mencuba dan tidak serius hanya sekadar mencari duit tepi. Sebaliknya anda boleh menggunakan laman-laman e-dagang sahaja seperti Mudah, Lelong, Shopee, Carousell, Lazada dan sebagainya. Anda juga boleh mengambil kesempatan ke atas platform media sosial terutamanya Facebook, Twitter dan Instagram untuk membina perniagaan anda. Ataupun anda juga boleh berdaftar dengan direktori-direktori bisnes dalam talian seperti Yellow Pages, PanPages dan lain-lain direktori percuma. Platform-platform ini lebih dari mencukupi kerana apa yang anda inginkan ialah mendapatkan pembeli dan tidak mempunyai kandungan-kandungan yang berunsur artikel untuk disiarkan.
Lagipun anda tidak merasakan yang jenama anda tidak perlu dijumpai di Google.
Tanpa mempunyai laman web, anda tidak akan mempunyai nama domain tersendiri. Bisnes media sosial saya juga tidak mempunyai laman web, jadi sudah semestinya saya tidak memiliki nama domain seperti nseplt.com contohnya. Tetapi dengan menggunakan kemudahan yang disediakan untuk laman Linktr.ee, iaitu satu platform yang menyediakan pautan untuk pengguna, saya boleh membina kredibiliti syarikat saya dengannya. Kini saya mempunyai pautan khusus untuk NSE iaitu linktr.ee/nseplt dan melalui pautan ini, saya boleh membawa pengguna untuk melayari beberapa dokumen penting seolah-olah ia satu laman web mudah. Di sini saya boleh paparkan tanda harga dan beberapa dokumen penting lain untuk pengguna.
Lokasi dokumen-dokumen yang terkandung di dalam pautan ini sebenarnya tidak berada dalam aplikasi tersebut kerana Linktr.ee tidak mempunyai perkhidmatan seperti itu. Lokasi sebenarnya adalah di Google Drive. Jadi sesiapa sahaja yang melayari dokumen yang terdapat pada Linktr.ee NSE sebenarnya melayarinya di Google Drive.
Sesetengah individu dan jenama merasakan yang mereka sudah cukup dengan pendedahan yang disediakan melalui media sosial tanpa perlu berada di Google. Apa yang mereka perlu lakukan ialah bergerak aktif sebagai individu di media sosial dan berkongsi kandungan-kandungan yang dibina yang terdapat di laman perniagaan atau Page jenama mereka. Dan sekiranya mereka mahukan lebih banyak trafik lagi, mereka cuma perlu membayar sedikit wang untuk iklan ataupun membayar beberapa orang yang berpengaruh atau social media influencer bagi tujuan promosi. Itu sahaja.
Memiliki laman web sendiri bermakna anda perlu juga aktif, sama seperti di sebelah media sosial dan platform-platform lain. Jika anda merasakan yang anda tidak mempunyai stamina jangkamasa panjang untuk kekal aktif menulis, membina kandungan, mengubahsuai laman web agar kelihatan segar dan mengemaskini setiap kandungan yang ada agar kekal relevan, saya ingin menasihatkan anda untuk berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Lebih baik masa anda dihabiskan membina jenama anda di media sosial sahaja.