Sebagai pemasar yang aktif, kadang-kadang kita akan melalui fasa yang tepu. Ini perkara biasa, jangan risau. Dan sekiranya kita masih terus-menerus melakukan perkara yang sama sahaja setiap masa, kita akan menghadapi masalah. Saya cadangkan agar anda perlahankan sedikit tempo setiap aktiviti pemasaran yang ada, dan lebihkan membaca. Membaca dan memerhati keadaan sekeliling, lihat apa yang sedang berlaku terutamanya tabiat membeli orang ramai di luar sana.
Mungkin senarai ini juga sedikit sebanyak akan membantu anda bagi membuatkan pemasaran anda lebih ummphhh..
- Penulisan blog yang pendek. Anda tahu tanpa mengemaskinikan laman web anda, ia tidak akan diindeks oleh enjin pencarian seperti Google and Bing. Untuk menulis blog yang panjang pula, ia akan mengambil masa yang agak lama. Lagipun, kena ada mood yang sesuai dan idea yang bernas. Mungkin, anda tidak perlu menulis panjang-panjang. Cukup sekadar dua perenggan sahaja, atau kalau terlalu ketandusan idea, tulis satu perenggan pun sudah mencukupi. Cuma pastikan ia menarik, mempunyai kata-kata kunci yang sesuai, tajuk yang dioptimumkan untuk SEO dan pembaca dapat belajar benda baharu dari penulisan anda.
- Guna kembali tajuk artikel yang mempunyai kedudukan tinggi di Google atau Bing. Anda tidak perlu membeli pelbagai perisian atau aplikasi mudah alih yang menjanjikan kedudukan ranking yang tinggi pada setiap enjin pencarian. Cara yang paling mudah dan percuma ialah menulis artikel yang mempunyai tajuk yang telah pun mempunyai kedudukan yang tinggi di Google contohnya. Kemudian guna kembali perkataan-perkataan yang ada di sana.
- Pautan dalaman yang sangat efektif. Jangan hanya tahu menulis sahaja, anda juga perlu mempunyai beberapa pautan yang dimasukkan pada perkataan-perkataan tertentu. Pautan sebegini akan membawa pembaca ke artikel-artikel lain di dalam laman web anda ataupun ke borang pertanyaan.
- Kurangkan ‘sampah’ yang ada pada laman web. Sebahagian besar laman-laman web di Malaysia mempunyai pelbagai maklumat di dalamnya kerana pemilik jenama-jenama ini terlalu berminat untuk memberitahu semua benda kepada para pembaca. Ini menyebabkan laman web yang ada kelihatan begitu berserabut dan mengelirukan. Patutlah ramai yang masuk dan tidak sampai 10 saat akan keluar balik kerana tidak tahan dengan apa yang mereka lihat pada laman web anda. Mungkin tiba masanya untuk anda kurangkan maklumat yang tidak penting dan susun kembali aturan yang ada agar ia lebih memudahkan para pengguna untuk bergerak dari satu laman ke laman yang lain dalam laman web anda.
- Perkataan dan ayat yang mudah. Ubah juga pemilihan perkataan dan ayat yang ada di dalam laman web anda agar ia lebih mudah difahami. Ingat, bukan semua yang datang itu mempunyai tahap kecerdikan yang sama dengan anda. Ini sangat membantu untuk lebih meyakinkan mereka yang anda benar-benar tahu dan berkelayakan tentang industri anda itu.
- Perbetulkan profil anda di semua media sosial. Selarikan penulisan profil anda di laman web dengan apa yang anda tulis pada semua media sosial yang ada. Jangan nak berlagak hero dengan menggunakan perkataan yang teknikal, bukan semua orang pandai seperti anda. Jadi guna perkataan dan ayat yang lebih mudah difahami.
- Video yang beresolusi tinggi. Sudah tiba masanya anda membuat sedikit pelaburan untuk menyediakan video-video yang lebih beresolusi tinggi kerana kebarangkalian untuk orang memberikan komen atau Like lebih tinggi berbanding yang mempunyai kualiti yang biasa. Terdapat kamera-kamera yang berkualiti yang tidak terlalu mahal di pasaran yang anda boleh cuba. Kamera telefon pintar juga boleh tetapi kadang-kadang kualitinya ke laut juga.
- Muatnaik status media sosial harian lebih dari satu dari akaun personal. Anda sendiri sedar, kadar engagement yang ada di semua laman perniagaan atau Page di media sosial semakin menurun. Para pengikut yang ada sudah tidak lagi nampak status yang dimuatnaik kerana perubahan algoritma memandangkan platform-platform ini mahukan pemilik perniagaan untuk membayar iklan. Lebih banyak anda membayar, lebih ramai yang akan nampak status anda. Baharulah jumlah Like atau komen akan kembali naik. Tetapi algoritma di sebelah personal masih sama, sesiapa sahaja akan nampak apa yang anda muatnaik pada status anda. Jadi cuba minta bantuan kenalan anda atau membayar mereka untuk memuatnaik status jenama anda di sana.