Idea perniagaan memang banyak dan berjenis-jenis yang boleh anda ceburi. Anda ada mempunyai sedikit wang, sedikit kepakaran dan pengalaman serta sedikit masa untuk perniagaan ini. Namun, karier sepenuh masa masih perlu diberikan perhatian penuh memandangkan kelangsungan hidup sekeluarga melalui pendapatan bulanan yang tetap terlalu penting buat anda.
Jika anda perhatikan betul-betul jenis perniagaan yang ada diluar sana, ia boleh terbahagi kepada 6 jenis.
Dari sini anda boleh mempertimbangkan senarai ini untuk anda membina strategi perniagaan anda sendiri. Yang penting, anda perlu memulakannya dari kecil terlebih dahulu, kemudian selesaikan beberapa masalah yang bakal wujud sebelum ia akan stabil. Apabila anda lihat perniagaan anda sudah kelihatan stabil, baharulah anda mulakan strategi untuk memperbesarkannya.
Ambil kesempatan ke atas kemalasan orang lain. Cuba anda perhatikan perniagaan seperti membuat kuih-muih untuk santapan petang, khidmat cuci kereta, khidmat mencuci rumah, mesin-mesin basuh baju yang menggunakan wang syiling dan juga khidmat menghantar makanan yang kini semakin bercambah di sana-sini. Secara konsepnya, mereka menjalankan perniagaan sebegini kerana mengambil kesempatan ke atas kemalasan orang lain. Dan mereka sanggup membayar produk atau perkhidmatan yang anda sediakan kerana bagi mereka tidak berbaloi untuk melakukannya sendiri.
Ambil kesempatan ke atas ketidakupayaan orang lain. Jenis perniagaan sebegini juga agak biasa. Contoh yang terbaik termasuklah membuat laman web untuk orang lain, menjaga laman-laman media sosial untuk orang lain, merekabentuk grafik untuk orang lain, khidmat penterjemahan, membuat akaun dan simpankira untuk orang lain dan sebagainya.
Penyelesai masalah. Lihat sahaja bagaimana Netflix mengubah pendirian pengguna terhadap industri kabel televisyen berbayar, AirAsia terhadap industri penerbangan, Spotify terhadap industri muzik, Grab terhadap industri teksi dan NSE terhadap industri pengurusan media sosial. Kesemua jenama ini menyediakan khidmat yang jauh lebih baik dan berkualiti berbanding jenama-jenama yang sedia ada pada kadar yang jauh lebih murah dari harga pasaran. Siapa yang tidak mahukan khidmat yang lebih baik dan murah dari biasa? Orang ramai sebelum ini menghadapi masalah besar dengan jenama-jenama terdahulu yang merasakan mereka lebih bagus dan sering meletakkan harga sesuka hati. Lihat mereka sekarang – bertarung nyawa untuk hidup kerana tiada siapa yang menggunakan khidmat mereka lagi. Cari peluang perniagaan sebegini.
Sebahagian dari kitaran hidup orang lain. Faktor ini yang paling penting. Sebelum anda teruskan dengan idea perniagaan anda yang sedia ada, jawab dahulu soalan ini dengan jujur – Adakah produk atau perkhidmatan yang akan anda sediakan nanti akan terus-menerus menjadi sebahagian dari hidup para pengguna di luar sana? Sekiranya ya, maka jenama anda akan kekal relevan dan terus berkembang pesat. Sekiranya tidak, anda perlu menukar produk atau perkhidmatan yang ada kepada yang baharu.
Biarkan mereka di zon selesa. Biarkan para pengguna kekal dengan kemalasan dan ketidakupayaan mereka untuk memastikan perniagaan anda akan kekal relevan sepanjang masa.
Bayaran yang berkali-kali. Pastikan juga model perniagaan anda menggunakan harga yang demokrasi, iaitu lebih murah dari biasa tetapi masih mengekalkan keuntungan kepada anda. Harga tersebut terlalu murah sehinggakan mereka tidak perlu berfikir panjang untuk membayar kepada anda, atau tidak perlu menunggu sehingga hujung bulan untuk membuat pembayaran. Di samping itu, strategi harga juga perlu dilakukan agar para pelanggan anda membayar setiap bulan sampai bila-bila.